Guna KRT Progresif bangunkan sifat kepimpinan belia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dr Halimah Ali (PN-Kapar) memuji langkah Kementerian Perpaduan Negara yang memberi wajah baru terhadap jentera Kawasan Rukun Tetangga (KRT) setelah ditubuhkan hampir 50 tahun lalu.

- Advertisement -

Beliau berkata, KRT Progresif memberi tumpuan kepada projek ekonomi, sosial dan kesejahteraan komuniti bagi menjana pendapatan, memperkukuh perpaduan dan membina komuniti lebih sejahtera dan inklusif.

Bagaimanapun beliau mencadangkan kementerian itu agar turut memberi perhatian ahli masyarakat yang tidak mempunyai sifat kepimpinan dan sukar mendapat peluang pekerjaan khususnya golongan belia.

“Bila ada progresif tu bagus, dia ada capacity dan capability, ada leadership, tetapi yang kita nak dalam aspek perpaduan ini ialah mereka yang leadership tak berapa banyak, duit pun tak pandai cari.

“Lagi-lagi bila nak melibatkan orang muda, orang muda dia kena kreatif, dia kena ada banyak aktiviti, dia tak boleh meeting aje kan, saya rasa perlu ada dasar bantu mereka kategori seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bangun mencelah pada sesi jawapan menteri terhadap Perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 pada peringkat dasar di Dewan Rakyat, di sini semalam.

Dalam pada itu Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam jawapan beliau menyambut baik idea itu, malah meluahkan peranan kementerian yang terlalu kecil disisi kerajaan hari ini.

Ahli Parlimen Kanowit itu menyatakan jabatan perpaduan seluruh negara khususnya di peringkat daerah hanya mempunyai empat orang kakitangan untuk memantau 12 program dikelola kementerian.

Beliau berkata cadangan tersebut turut dilakukan menerusi pelaksanaan KRT Progresif bahkan, pihaknya bakal memberi tumpuan yang khusus bagi menjalankan aktiviti dan program pembangunan golongan belia.

“Kita dengan sedaya upayanya dengan kita apabila kita mengadakan KRT Progresif ini, ini KRT yang kita ingin tumpukan untuk menjalankan pelbagai aktiviti menjuruskan pembangunan dibangkitkan ini.

“Dan harapan kita akan adakan pelbagai bengkel untuk melihat hala tuju yang akan kita adakan tahun akan datang dan of course satu kejayaan kita untuk mengadakan profiling setiap KRT,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2025

- Advertisement -