Keputusan FIFA: Gesa gantung tugas Menteri KDN, KBS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menggesa supaya Menteri Dalam Negeri (KDN) serta Menteri Belia dan Sukan (KBS) digantung tugas susulan keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata, keputusan FIFA itu yang mendedahkan wujud elemen pemalsuan, pelanggaran dan ketidakpatuhan dalam kes berkenaan di mana merupakan satu skandal besar bukan sahaja menghampakan penyokong bola sepak tempatan, malah turut memalukan negara di peringkat antarabangsa.

“Skandal ‘epik’ yang menghampakan penyokong, memalukan negara. Bangkit Malaysia! Selaras dengan prinsip Malaysia Madani, bermaruah dan berintegriti; gantung tugas Menteri KDN dan Menteri KBS, atau berundur secara terhormat,” ujarnya dalam media sosial miliknya.

Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan FAM dan tujuh pemain import berhubung kes pemalsuan dokumen di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA. 

Hukuman asal dikekalkan dengan FAM didenda CHF 350,000 (RM1.8 juta), manakala tujuh pemain masing-masing didenda CHF 2,000 (RM10,300) serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak. 

FAM dan pemain terbabit dilaporkan diberi tempoh 21 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan. – HARAKAHDAILY 4/11/2025

- Advertisement -
- Advertisement -