Saran tubuh Majlis Keselamatan Digital Kanak-kanak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menubuhkan Majlis Keselamatan Digital Kanak-Kanak (MKDKK) bagi menangani isu keselamatan dan kesejahteraan digital golongan muda secara lebih komprehensif, cadangan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff.

- Advertisement -

Ia susulan insiden menyayat hati di Batu Pahat, Johor, melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera ditetak oleh abangnya berumur sembilan tahun akibat pertikaian permainan dalam talian, Roblox.

Menurutnya, kejadian itu juga mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan masyarakat tentang keselamatan dan kesejahteraan digital kanak-kanak di negara ini.

“Saya menzahirkan simpati mendalam kepada keluarga mangsa, dan menyeru agar semua pihak bertenang serta tidak membuat kesimpulan tergesa-gesa sebelum siasatan pihak berkuasa selesai dijalankan.

“Walaupun permainan dalam talian tidak boleh dijadikan kambing hitam secara mutlak, kejadian ini menuntut tindakan bersepadu kerajaan, ibu bapa, pendidik dan pengendali platform digital bagi memastikan dunia maya menjadi ruang yang selamat untuk kanak-kanak,” katanya.

Menurut Wan Martina, permainan dalam talian seperti Roblox mempunyai unsur sosial yang membolehkan interaksi antara pengguna dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang.

“Walaupun ia dapat menggalakkan kreativiti, pembelajaran interaktif dan kerjasama digital, risiko penyalahgunaan, ketagihan, serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai juga semakin meningkat.

“Kajian antarabangsa menunjukkan peningkatan kes tingkah laku agresif dalam kalangan pengguna muda yang terdedah tanpa kawalan mencukupi.

“Oleh itu, sudah tiba masanya Malaysia menilai semula kerangka perundangan dan pengawalseliaan terhadap platform permainan dalam talian,” katanya.

Beliau juga menyambut baik kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri, yang memaklumkan kerajaan sedang meneliti kemungkinan mengenakan sekatan atau kawalan ketat terhadap permainan seperti Roblox yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna muda.

“Kerajaan perlu mempertimbangkan langkah-langkah seperti pelaksanaan penarafan umur dan pelesenan permainan dalam talian di bawah undang-undang komunikasi dan multimedia serta penguatkuasaan mod kanak-kanak yang mengehadkan interaksi sosial serta transaksi mikro dalam aplikasi,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menekankan keperluan pendidikan literasi digital kepada ibu bapa dan guru agar mereka mampu memantau aktiviti anak-anak di dunia maya secara lebih berkesan.

“Kerjasama dengan pengendali platform antarabangsa juga perlu bagi memastikan kandungan dan interaksi pengguna Malaysia mematuhi piawaian keselamatan global,” katanya.

Menurutnya, pemantauan di peringkat keluarga menjadi benteng pertama dalam melindungi kanak-kanak daripada risiko digital.

“Ibu bapa perlu menetapkan had masa bermain, mengenal pasti kandungan yang sesuai mengikut umur serta berbincang dengan anak-anak tentang bahaya interaksi dengan orang tidak dikenali dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat dan institusi pendidikan juga digesa memainkan peranan aktif dengan meningkatkan kesedaran terhadap tanda-tanda ketagihan permainan serta perubahan tingkah laku agresif dalam kalangan kanak-kanak.

“Peranan sekolah dan kaunselor turut penting untuk memberi intervensi awal sekiranya terdapat gejala ketagihan atau konflik berpunca daripada aktiviti digital,” katanya.

Bagi menangani isu ini secara strategik, Wan Martina mencadangkan MKDKK diwujudkan di bawah penyelarasan bersama Kementerian Komunikasi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Pendidikan.

Katanya, ia bertujuan untuk menilai risiko platform digital secara berkala, menyelaraskan standard keselamatan aplikasi mesra kanak-kanak, menjalankan kempen nasional mengenai keselamatan siber keluarga dan membangunkan indeks keselamatan digital kanak-kanak Malaysia sebagai penanda aras dasar awam.

Tambahnya, langkah jangka panjang itu lebih mampan dan berimpak tinggi berbanding pengharaman sementara dan ia juga menunjukkan kesungguhan negara dalam menyeimbangkan keselamatan sosial dan pembangunan ekonomi digital.

“Insiden di Batu Pahat seharusnya menjadi amaran penting kepada semua pihak bahawa dunia digital tidak bebas daripada risiko sebenar. Tindakan kerajaan perlu berpaksikan kepada pendidikan, pengawalan berhemah, dan kerjasama pelbagai pihak, bukan hanya sekadar larangan.

“Saya yakin dengan pendekatan menyeluruh dan berpandangan jauh, Malaysia mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja celik digital, tetapi juga matang dari segi emosi, nilai dan tanggungjawab sosial,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/11/2025

- Advertisement -