PUTRA desak tubuh RCI siasat perjanjian Malaysia–AS

- Advertisement -

KOTA BHARU: PUTRA mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat keseluruhan proses Perjanjian Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART) yang dimeterai pada 26 Oktober lalu.

- Advertisement -

Presiden PUTRA, Dato’ Paduka Dr Ibrahim Ali berkata, langkah itu penting bagi memastikan tiada pengaruh luar, konflik kepentingan atau pelanggaran tatacara berlaku dalam proses menandatangani perjanjian tersebut.

Beliau turut mencadangkan kerajaan membatalkan sementara perjanjian itu sehingga teks penuh, lampiran teknikal dan penilaian risiko terhadap sektor strategik negara dirunding semula serta didedahkan kepada umum.

“Tiada pemimpin berhak menandatangani masa depan negara tanpa izin rakyat. Kedaulatan bukan milik dua individu di meja rundingan, ia milik seluruh bangsa Malaysia.

“Bila pemimpin menandatangani rahsia di belakang rakyat, sejarah akan menulis nama mereka di batu nisan pengkhianatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dr Ibrahim menegaskan PUTRA dan rakyat Malaysia tidak akan tunduk kepada tekanan luar, khususnya Washington, serta tidak akan berdiam diri apabila amanah bangsa dikhianati.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia termasuk ahli akademik, peguam, mahasiswa dan wira media untuk bersama menuntut kebenaran. Ini soal maruah negara,” tegasnya.

Perjanjian ART yang ditandatangani antara Malaysia dan AS dilapor melibatkan pelbagai komitmen dua hala termasuk pelonggaran lesen import, piawaian halal dan keselamatan kenderaan, serta pengecualian cukai digital terhadap syarikat teknologi Amerika Syarikat.

Selain itu, perjanjian tersebut turut menetapkan Malaysia tidak boleh mengenakan sekatan eksport terhadap mineral kritikal dan unsur nadir bumi (REE), manakala Amerika Syarikat mengekalkan tarif 19 peratus terhadap barangan asal Malaysia serta menyokong pelaburan komersial bernilai lebih USD150 bilion.

Perjanjian yang disifatkan berat sebelah itu turut menerima kecaman pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Persidangan Agung Tahunan PUTRA turut meluluskan usul tergempar mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dan menarik balik perjanjian berkenaan.

Dr Ibrahim berkata, PUTRA mengecam sekeras-kerasnya tindakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menandatangani perjanjian.

Kecaman itu berikutan ia dibuat tanpa pendedahan kepada rakyat dan tanpa perbahasan di Parlimen serta tanpa perkenan Majlis Raja-Raja walaupun ia melibatkan soal kedaulatan negara.

“Sekiranya perjanjian ini benar-benar memberi manfaat, mengapa ia disembunyikan sebelum ditandatangani? Kerahsiaan sebelum persetujuan bukan tanda hikmah, tetapi tanda ada sesuatu yang cuba disorok. Inilah penyakit yang membunuh kepercayaan rakyat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai bentuk penjajahan moden apabila pemimpin menandatangani perjanjian dengan pena, namun kesannya seperti rantai di leher negara.

“Amerika tidak perlu datang menjajah, cukup Anwar dan Zafrul membuka pintu untuk mereka,” katanya lagi.

Menurutnya, perjanjian itu bukan satu rundingan antarabangsa yang seimbang, sebaliknya berbentuk paksaan diplomatik yang disambut dengan ketakutan dan kejahilan.

“Apa yang berlaku ini bukan lagi isu ekonomi, tetapi jenayah amanah terhadap kedaulatan negara.

“Dulu penjajah menandatangani perjanjian untuk merampas Tanah Melayu, hari ini pemimpin moden menandatangani perjanjian yang menggadaikan ekonomi negara termasuk kepentingan Bumiputera,” katanya.

Sementara itu, bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Isham Jalil turut mendesak kerajaan mendedahkan secara terbuka terma sebenar ‘exit clause’ dalam ART Malaysia–Amerika Syarikat.

Beliau berkata, sehingga kini Perdana Menteri dan Tengku Zafrul masih gagal menunjukkan bukti atau dokumen jelas yang membuktikan kewujudan terma tersebut. – HARAKAHDAILY 4/11/2025

- Advertisement -