Terengganu terajui transformasi tenaga bersih negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terengganu kini muncul sebagai antara negeri utama menerajui agenda tenaga bersih negara dengan pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi yang memanfaatkan sumber semula jadi dan kedudukan strategiknya.

- Advertisement -

Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kerajaan negeri berjaya menyesuaikan dasar tenaga hijau nasional dengan keperluan pembangunan negeri agar manfaatnya dapat dirasai rakyat.

Beliau berkata, pendekatan Terengganu bukan sekadar menjadi tuan rumah kepada projek tenaga boleh baharu, tetapi turut memiliki pegangan dan pengaruh dalam pelaksanaannya, membolehkan negeri itu menikmati pulangan jangka panjang serta memperkukuh ekonomi setempat.

“Teras kepada kejayaan tenaga bersih Terengganu ialah projek Hibrid Hidro Solar Terapung (HHFS) dan Hab Hidrogen Hijau di Tasik Kenyir, hasil kerjasama dengan PETRONAS dan TNB.

“Projek ini sejajar dengan Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR) Malaysia, namun peranan kerajaan negeri bukan sekadar simbolik.

“Menerusi Terengganu Inc, cabang pelaburan negeri, Terengganu menjadi rakan usaha sama dengan TNB Genco Sdn Bhd, memastikan negeri mempunyai pegangan ekuiti dan pengaruh dalam arah tuju projek.

“Langkah strategik ini menjamin pemilikan tempatan, dividen jangka panjang serta suara dalam salah satu projek tenaga boleh baharu paling berambisi di Malaysia.

“Projek perintis HHFS di Empangan Kenyir yang meliputi 1,085 meter persegi dengan 220 panel solar membuktikan bagaimana infrastruktur hidroelektrik boleh diguna semula untuk penjanaan tenaga bersih berganda.

“Dengan sehingga 10 peratus daripada keluasan tasik 36,900 hektar sesuai untuk pemasangan solar terapung, projek ini berpotensi menjana sehingga 2,200 MW (megawatt) tanpa menjejaskan ekosistem,” katanya.

Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Parlimen Mengenai Alam Sekitar, Sains dan Perladangan berkata demikian pada Forum: Bridging the Gap Ensuring Affordability, Reliability and Sustainability in Renewable Energy yang berlangsung di Parlimen Malaysia, di sini semalam.

Amzad berkata, selain menumpukan kepada pembangunan tenaga boleh baharu, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan kementerian Persekutuan, PETRONAS dan TNB bagi melaksanakan program latihan TVET dan peningkatan kemahiran tenaga hijau untuk belia di negeri ini.

“Yang penting, Kerajaan Terengganu menyelaraskan projek ini dengan pembangunan bakat tempatan. Menyahut seruan Perdana Menteri, negeri bekerjasama dengan kementerian Persekutuan, PETRONAS dan TNB.

“Bagi membangunkan program TVET dan peningkatan kemahiran untuk belia di Kuala Berang dan Hulu Terengganu, memastikan tenaga bersih mencipta pekerjaan bermakna untuk komuniti setempat, bukan meminggirkan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, Terengganu juga bersedia menjadi hab utama bagi teknologi Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang memainkan peranan penting dalam usaha Malaysia mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050.

“Walaupun inisiatif ini sebahagian daripada rangka kerja nasional yang diterajui PETRONAS dan kerajaan Persekutuan, pendirian Terengganu tegas, negeri ini bukan sekadar menjadi tuan rumah tapak penyimpanan, tetapi turut menentukan hasil ekonomi dan pembangunan modal insan.

“Ahmad Samsuri menegaskan bahawa pelaksanaan CCUS di Terengganu mesti memberi pulangan nyata melalui hasil negeri, pembangunan kapasiti serta penyertaan syarikat tempatan.

“Pentadbiran beliau kini sedang berunding dengan PETRONAS dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri untuk memastikan pelaksanaan CCUS memaksimumkan manfaat kepada rakyat, bukan hanya kepada kerajaan pusat,” katanya.

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, selepas Rang Undang-Undang CCUS 2025 diluluskan pada Mac lalu, kerajaan negeri kini sedang menyediakan pelan pelaksanaan berstruktur bagi memastikan pembangunan industri tersebut dilaksanakan secara berhemah dan berkesan.

“Ini mencerminkan kematangan dasar yang mengimbangi tanggungjawab alam sekitar dengan kedaulatan ekonomi pendekatan yang jarang diambil oleh kerajaan negeri lain di Malaysia,” katanya.

Tambahnya, projek tenaga di Terengganu turut diintegrasikan dalam rangka kerja Grid Tenaga ASEAN (ASEAN Power Grid) yang bakal menghubungkan Vietnam, Kelantan, Terengganu dan Singapura melalui sistem grid bawah laut baharu.

“Hubungan rentas negara ini meletakkan Terengganu sebagai koridor tenaga penting antara Semenanjung Indochina dan pasaran tenaga selatan.

“Kesalinghubungan ini menjanjikan limpahan ekonomi jangka panjang, infrastruktur grid dipertingkat, aliran pelaburan serantau dan kemunculan Terengganu sebagai pusat logistik serta teknologi tenaga boleh baharu,” ujarnya.

Kata beliau, pendekatan strategik yang dilaksanakan kerajaan negeri membuktikan bahawa kejayaan peralihan tenaga Malaysia bergantung kepada peranan aktif negeri-negeri dalam melaksanakan dasar.

“Dengan menggabungkan kerjasama industri, perancangan modal insan dan kecekapan fiskal, negeri ini telah menukar strategi nasional menjadi pemangkin kemakmuran tempatan.

“Melalui langkah ini, Terengganu telah beralih daripada sekadar dikenali sebagai negeri kaya minyak kepada peneraju inovasi tenaga boleh baharu satu transformasi.

“Yang membuktikan bahawa kejayaan peralihan tenaga Malaysia bergantung kepada sejauh mana negeri-negeri bertindak bukan sebagai tuan rumah pasif, tetapi sebagai arkitek aktif masa depan lestari,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/10/2025

- Advertisement -