Pasar Berek 12 kini dikenali sebagai Pasar Siti Fatimah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pasar yang sebelum ini dikenali sebagai Pasar Berek 12 kini diberi nama Pasar Siti Fatimah selepas munculnya Pasar Siti Khadijah dan Bazar Siti Aisyah di tengah Bandar Kota Bharu.

- Advertisement -

Pengumuman tersebut disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud sewaktu merasmikan Pasar Siti Fatimah di pekarangan pasar berkenaan.

Menurut Nassuruddin, pemilihan nama Siti Fatimah bersempena nama puteri Rasulullah SAW, Fatimah Az-Zahra, yang terkenal dengan keperibadian mulia serta menjadi teladan kepada umat Islam.

Katanya, pasar di Kelantan kebanyakannya dinamakan sempena tokoh wanita Islam seperti Pasar Siti Khadijah dan Bazar Siti Aisyah.

“Oleh itu, kita memilih nama Siti Fatimah untuk pasar ini bersempena nama anakanda baginda Rasulullah SAW yang merupakan ketua wanita ahli syurga,” katanya.

Tambah beliau, keperibadian Siti Fatimah yang menyerupai Rasulullah SAW dari segi percakapan dan tingkah laku wajar dijadikan contoh kepada masyarakat, khususnya para peniaga dan pengunjung pasar.

Beliau berharap dengan adanya kemudahan baharu seperti lif untuk ke tingkat dua dan tiga akan menjadi tarikan kepada pengunjung untuk terus berurusan jual beli di pasar ini.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Sri Takiyuddin Hassan dalam ucapan alu-aluannya mencadangkan agar pasar tersebut diberi nama baharu bersempena majlis perasmian rasmi yang diadakan.

Dalam majlis sama, Menteri Besar turut meluluskan permohonan sumbangan yang dipohon oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) bagi tujuan membaik pulih beberapa kerosakan di pasar berkenaan.

“Saya meluluskan sepenuhnya permohonan tersebut sebagaimana yang dinyatakan dalam surat.

“Saya yakin permohonan ini dibuat mengikut keperluan dan kemampuan kerajaan. Ini kerana dalam Islam, perbelanjaan perlu dilakukan secara sederhana dan berhemah, tidak boros dan tidak kedekut,” jelasnya.

Untuk rekod, Pasar Berek 12 telah melalui proses naik taraf menyeluruh bermula pada tahun 2016 selepas beroperasi sekian lama sekitar lebih 40 tahun.

Projek yang menelan kos sebanyak RM4.8 juta tersebut siap sepenuhnya pada 30 April 2018 dan diserahkan secara rasmi kepada MPKB-BRI pada 30 September 2018. – *HARAKAHDAILY 2/11/2025*

- Advertisement -