Isu latihan komando APMM: Takiyuddin serah Speaker

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan menyerahkan jawapan kepada Speaker Dewan Rakyat berhubung usul untuk merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

- Advertisement -

Ia susulan kenyataannya beliau selaku Ahli Parlimen Kota Bharu dan Setiausaha Agung PAS terhadap isu latihan komando Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Parlimen baru-baru ini.

Beliau berkata, tempoh tujuh hari diberikan kepadanya untuk menjawab isu dakwaan bahawa beliau mendakwa anggota APMM menyerbu Masjid Rusila di Marang, Terengganu pada 19 September lalu.

“Saya akan menyerahkan jawapan kepada Speaker Dewan Rakyat, kemudian terpulang kepada Speaker untuk memutuskan tindakan seterusnya,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Pasar Berek 12, di sini.

Setiausaha Agung PAS itu berkata, beliau menganggap isu berkenaan telah selesai selepas penjelasan dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menjelaskan ia hanyalah sebahagian daripada latihan APMM.

“Saya percaya perkara itu sudah diselesaikan kerana Menteri Dalam Negeri telah memberi penjelasan bahawa ia merupakan sebahagian daripada latihan.

“Namun, saya berharap kejadian seperti itu tidak akan berulang,” ujarnya menyatakan bahawa sewaktu membuat penggulungan, menteri sendiri mengakui memang betul ada aktiviti dibuat dalam masjid iaitu aksi lari daripada jurulatih dan ianya adalah sebahagian daripada sesi latihan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat mengemukakan usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul supaya Takiyuddin dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa membuat tuduhan terhadap APMM.

Usul itu turut memohon agar beliau menarik balik kenyataan dan memohon maaf kepada Dewan Rakyat atas dakwaan berkenaan. – HARAKAHDAILY 2/11/2025

- Advertisement -