Kedaulatan Digital: Gobind dilihat enggan jawab

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu kedaulatan digital kembali menjadi tumpuan di Dewan Rakyat hari ini apabila Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat), mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berhubung implikasi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat terhadap industri digital negara.

- Advertisement -

Soalan tambahan itu diajukan selepas soalan asal bernombor 5 oleh Syerlena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang meminta penjelasan mengenai hala tuju Pelan Rantaian Blok Nasional serta rangka undang-undang berkaitan blockchain dan tokenisasi aset.

Dalam soalan tambahannya, Mumtaz meminta penjelasan berhubung implikasi perjanjian ini terhadap perkembangan industri digital negara, khususnya kedudukan Malaysia dalam rundingan perjanjian digital dua hala dan serantau dengan negara seperti China, UAE, Turkiye, EU dan ASEAN.

Beliau berkata, persoalan itu wajar dijawab secara terbuka memandangkan Malaysia baru sahaja menandatangani ART dengan Amerika Syarikat yang menimbulkan pelbagai kebimbangan termasuk isu kedaulatan digital dan pengaruh luar terhadap dasar teknologi negara.

Bagaimanapun, Gobind ketika menjawab dilihat cuba mengelak daripada memberikan jawapan dengan menyatakan soalan tambahan itu ‘lari daripada soalan asal’ dan memaklumkan bahawa jawapan terperinci akan diberikan secara bertulis.

Langkah itu menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati terhadap kesediaan kerajaan menjelaskan kedudukan sebenar Malaysia dalam rundingan digital antarabangsa, khususnya berkaitan kesan ART terhadap dasar digital negara.

Bahkan timbul juga persoalan berhubung status pemakluman berkenaan perjanjian ini kepada anggota kabinet. – HARAKAHDAILY 3/11/2025

- Advertisement -