Dibangun dengan kos RM85 juta: PADU tidak padu lagi?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) kembali hangat dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini apabila Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai), mempertikaikan keberkesanan sistem tersebut yang dibangunkan dengan kos RM85 juta, namun masih belum digunakan sepenuhnya dalam pelaksanaan subsidi bersasar.

- Advertisement -

“Sebagaimana kita maklum, kos pembangunan PADU ini sebanyak RM85 juta. Ia menggabungkan data 204 agensi dan kini mempunyai 30.4 juta profil penduduk untuk menjadi rujukan subsidi.

“Persoalannya, mengapa sistem PADU ini masih belum dilaksanakan sepenuhnya dalam konteks pelaksanaan subsidi bersasar pada hari ini? Adakah kerana menterinya sudah letak jawatan, maka PADU pun jadi tidak padu lagi?

“Pada saya, ini satu sikap yang tidak baik kerana menteri boleh datang dan pergi, tetapi sistem sepatutnya terus berjalan. Bagaimana pula kementerian menilai value for money sistem PADU ini dalam konteks pelaksanaan subsidi?” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab persoalan itu, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, menjelaskan bahawa buat masa ini penggunaan PADU masih tertumpu kepada perkongsian data antara agensi-agensi kerajaan bagi memastikan ketepatan dan kesahihan maklumat kumpulan sasar sebelum digunakan sepenuhnya dalam pelaksanaan dasar subsidi bersasar.

“Proses ini memerlukan masa kerana banyak data awal yang kurang tepat perlu dipadankan semula supaya pelaksanaan dasar dan program berasaskan PADU dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” jelasnya.

Menurut beliau, sejak dilancarkan pada tahun 2024, PADU kini mengandungi 30.4 juta profil individu dan isi rumah warga negara serta pemastautin tetap di Malaysia. Antara maklumat yang direkodkan termasuklah demografi, lokaliti, pendapatan, pendidikan, status kemiskinan dan jenis bantuan yang diterima.

Sebanyak 204 agensi kerajaan telah melaksanakan perkongsian serta integrasi data secara berterusan dengan PADU, antaranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Setakat 31 Oktober 2025, sebanyak 17 permohonan telah diluluskan bagi penggunaan data PADU dalam penentuan dasar dan program kerajaan. Antara contoh terkini ialah penggunaan data PADU sebagai rujukan bagi Inisiatif BUDI Madani.

Selain itu, 95 agensi lain turut diluluskan menggunakan data PADU termasuk Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Digital Negara (JDN), Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Jelas Hanifah, kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi sedang menambah baik sistem pengukuran pendapatan isi rumah dengan menggunakan Pendapatan Boleh Guna Bersih (BDI) sebagai asas penentuan kumpulan sasar, menggantikan kaedah lama berdasarkan pendapatan kasar M40, B40 dan T20.

Kaedah baharu ini, katanya, akan dijadikan sumber rujukan utama bagi mengenal pasti kumpulan sasaran bantuan sosial dan intervensi kemiskinan, selain memperkenalkan Indeks Kemakmuran Bersih sebagai pelengkap kepada sistem ukuran sedia ada.

Terdahulu, Hanifah menjawab soalan asal daripada Idris berhubung penggunaan dan perkembangan terkini sistem PADU. – HARAKAHDAILY 3/11/2025

- Advertisement -