Nelayan mendarat hasil di negeri lain: Isu akan ditangani

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu komited menyelesaikan isu bot nelayan tempatan yang terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di negeri lain susulan masalah muara cetek serta kekurangan infrastruktur asas di jeti dan pelabuhan perikanan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, keadaan itu menjadi antara cabaran besar yang dihadapi kerajaan negeri sepanjang tempoh 33 bulan mentadbir.

Katanya, data menunjukkan daripada 188 vesel Zon C, sebanyak 18 vesel mendarat di Kelantan, lapan di Pahang dan empat di Johor, manakala bagi Zon C2 yang melibatkan 51 vesel, hanya 33 vesel mendarat di pelabuhan dalam negeri.

“Seperti Kuala Kemaman, Chukai, Geliga, Kuala Dungun dan Chendering. Sebanyak 18 vesel Zon C2 pula mendarat di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Tok Bali dan Kuantan.

“Isu muara cetek ditambah dengan kekurangan infrastruktur seperti kilang air batu, minyak diesel dan air mentah selain kemudahan pasaran di pelabuhan dan jeti-jeti perikanan menjadi antara faktor yang merencatkan perkembangan industri perikanan Terengganu.

“Banyak bot nelayan laut dalam C dan C2 yang berdaftar di Terengganu tetapi terpaksa mendaratkan hasil tangkapan di negeri lain ekoran kerana isu ini.

“Antaranya mereka berpindah pengkalan ke Pelabuhan Tok Bali atau Kompleks LKIM Kuantan walaupun mereka masih menangkap ikan di Perairan Terengganu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini usaha kerajaan negeri menangani isu berkenaan.

Menurut Azman, daripada lebih 239 bot laut dalam (Zon C dan C2) berdaftar di Terengganu, hanya tinggal beberapa belas buah sahaja yang masih mendaratkan hasil di negeri ini.

“Isu asas ini wajib diselesaikan untuk kita menggamit kepulangan kembali bot-bot Terengganu supaya mendaratkan hasil tangkapan di negeri sendiri,” katanya.

Sepanjang tempoh 33 bulan pentadbiran, katanya, kerajaan negeri berjaya memperoleh kelulusan projek bernilai ratusan juta ringgit bagi mendalamkan muara dan membina pemecah ombak di beberapa lokasi utama.

Antaranya, projek di Muara Dungun (kelulusan 26 September 2022), Muara Setiu/Mangkuk (16 Januari 2022), Muara Merchang, Marang (15 Disember 2021) serta Muara Merang, Setiu (RP3 RMKe-12 2023).

Selain itu kata beliau, Pelabuhan LKIM Chendering (PLC) yang dibuka sejak 1983 dan pernah menjadi pusat utama pendaratan ikan pada era 1990 kini semakin suram akibat mendapan pasir dan infrastruktur uzur.

“Antara isu utamanya ialah mendapan pasir dan kedhaifan infra menyebabkan satu-satunya pelabuhan perikanan di negeri Terengganu ini bukan lagi pilihan utama sebagai tempat berlabuh dan mendaratkan hasil tangkapan.

“Dengan usaha dari kerajaan negeri bersama LKIM, bermula dari Bengkel Transformasi Perikanan Negeri Terengganu Tahun 2021. Antara resolusi bengkel ini ialah, PLC wajib dinaik taraf, diperkasakan dan dipulihkan semula.

“Setelah melalui pelbagai proses yang agak panjang dan rumit, akhirnya pada 27 Februari 2023, Kementerian Ekonomi telah meluluskan RM192 juta untuk Projek Pembangunan dan Pemerkasaan PLC,” katanya.

Jelasnya, peruntukan itu merangkumi dua fasa pelaksanaan iaitu fasa pertama melibatkan kerja daratan oleh JKR dan fasa kedua kerja di dalam air oleh JPS.

“Kerja di daratan merangkumi skop menaik taraf infrastruktur pelabuhan manakala kerja-kerja dalam air merangkumi skop merobohkan jeti sedia ada, pengorekan untuk mendalamkan pelabuhan serta menaiktaraf dan membina benteng pemecah ombak.

“Projek fasa satu dijadualkan siap pada Oktober 2028 sementara fasa 2 dijadualkan siap Ogos 2031. Dengan siapnya kerja-kerja ini, insya-Allah kita akan dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan PLC,” katanya.

Beliau turut merakam penghargaan kepada mantan Menteri Pertanian, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan kini, Datuk Seri Mohamad Sabu, atas segala bantuan bagi mempermudahkan urusan. – *HARAKAHDAILY 31/10/2025*

- Advertisement -