35 tahun Kelantan terus ‘Membangun Bersama Islam’

PMBI pandu hala tuju Kelantan Sejahtera 2033

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’  Mohd Nassuruddin Daud, menegaskan bahawa kerajaan negeri kekal konsisten mempertahankan dasar pemerintahan Islam sejak 1990.

- Advertisement -

Kini katanya, sedang melangkah pula ke fasa paling penting melalui Pelaksanaan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI) yang menjadi dokumen induk pentadbiran menuju Kelantan Sejahtera 2033.

Beliau berkata, perjalanan tiga fasa pentadbiran negeri sejak 35 tahun lalu membuktikan bahawa Kelantan bukan hanya bertahan, tetapi berkembang secara tersusun dan berprinsip di bawah naungan dasar Islam.

“Fasa Membangun Bersama Islam bermula pada 1990 hingga 2013 telah membuka dimensi baharu dalam pentadbiran negeri. Seterusnya fasa Merakyat Membangun Bersama Islam diteruskan sehingga 2023.

“Kini kita berada dalam fasa Penghayatan Membangun Bersama Islam yang telah memasuki tahun ketiga,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti.

Beliau menegaskan bahawa keberkatan ialah faktor terpenting dalam kekuatan sesebuah kerajaan dan ia tidak boleh diukur dengan angka semata-mata.

“Keberkatan itu terpancar melalui kecemerlangan tadbir urus, peningkatan hasil negeri serta kesejahteraan rakyat. Tanpa keberkatan, segala pencapaian zahir tidak akan memberi makna berkekalan,” ujarnya.

Menurut beliau, Kelantan akan berdepan lima cabaran utama menjelang tahun 2026 iaitu penularan racun liberalisme dan sekularisme merosakkan akidah dan limpahan maklumat tanpa tapisan yang membuka ruang fitnah pemikiran.

Juga kehilangan ulama dan kemerosotan martabat ilmu, perpecahan umat akibat hilang fokus menjaga agama sebagai asas utama, serta kelesuan roh jihad dan semangat khidmat dalam kalangan generasi baharu.

“Tiada jalan lain untuk menjadi penawar kepada cabaran ini melainkan kembali kepada al-Quran secara menyeluruh, mempertahankan autoriti ulama serta bersatu mempertahankan dasar Islam,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa asas pentadbiran PMBI dibina di atas tiga nilai teras iaitu Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan yang melahirkan pentadbir ikhlas, amanah dan tekun dalam melaksanakan tanggungjawab.

Nassuruddin turut mengumumkan pelancaran Dasar Qawwamah Lelaki Kelantan yang menegaskan peranan bapa sebagai pemimpin, pendidik dan pelindung keluarga agar lahir masyarakat berakhlak dan berdisiplin menurut panduan Islam.

Beliau berkata pentadbiran Kelantan kekal matang dalam mengurus hubungan Persekutuan-negeri dengan penuh hikmah dan berstrategi tanpa pernah berganjak daripada prinsip mempertahankan dasar Islam sebagai teras pemerintahan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran dan lantikan politik yang dianggap tulang belakang kekuatan kerajaan negeri selama lebih tiga dekad dalam mempertahankan warisan perjuangan Membangun Bersama Islam.

Turut hadir kepimpinan kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan seluruh warga pentadbiran. – HARAKAHDAILY 31/10/2025

- Advertisement -