
TAMBUN: Yang Dipertua PAS Kawasan Tambun, Allahyarham Ustaz Mat Salleh Said ada mengungkapkan penegasan bahawa perjuangan jihad di Malaysia pada masa ini adalah jihad politik.
Allahyarham kembali ke rahmatullah sekitar jam 10.30 malam tadi, menjadikan kata-kata tersebut sebagai ‘pesanan terakhir’ diungkapkannya di Pusat Dakwah PAS Kampung Tanjung Husin pada 28 Oktober kelmarin.
Dalam ucapan itu, Allahyarham berkata, PAS adalah gerakan Islam di mana matlamat utamanya bukanlah kemenangan pilihan raya semata-mata, tetapi mengejar kemenangan akhirat.
Menyentuh situasi semasa, Ustaz Mat Salleh juga dalam taujihat disampaikannya itu menggariskan perbezaan bentuk jihad berdasarkan ancaman yang dihadapi ummah.
”Jika jihad perang menentang Israel di Gaza, jihad di Malaysia adalah jihad politik kerana musuh menyerang melalui politik,” ujarnya dikongsikan kata-kata itu oleh Ketua Muslimat PAS Negeri Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad.
Allahyarham turut menyentuh mengenai keadaan musuh yang kini tidak perlu bersusah payah kerana terdapat kalangan orang-orang Islam sendiri mempertahankan dan membela mereka.
Justeru, Allahyarham menyifatkan usaha siasah yang diperjuangkan oleh PAS adalah amat besar ertinya dan merupakan benteng utama mempertahankan Tauhid dalam menghadapi situasi seperti disebutnya itu.
”PAS berusaha dalam politik untuk berhadapan terus dengan musuh-musuh nyata dan musuh-musuh dalam selimut serta menjalankan perkara-perkara maaruf untuk ummah,” katanya dipetik dari catatan Dr Najihatussalehah.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan pemergian Allahyarham Ustaz Salleh sebagai satu kehilangan kepada PAS khususnya dan masyarakat amnya.
Allahyarham dikenali sebagai pendakwah yang giat menyantuni dan memperjuangkan hal ehwal masyarakat menerusi peranannya sebagai Yang Dipertua PAS Tambun dan menerusi badan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Ustaz Misbahul Munir Masduki, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang sahabat yang amat komited.
”Saya sangat berduka atas pemergian sahabat saya, berita diterima ketika saya masih dalam perjalanan dari Parlimen ke Ipoh,” katanya semalam.
Ujarnya, Allahyarham tetap teguh memimpin PAS Tambun biarpun diuji dengan keuzuran.
”Sebelum ini pun Allahyarham menghidap kencing manis, namun tetap aktif dan memimpin PAS Kawasan Tambun dan sentiasa hadir program Jamaah walaupun berkerusi roda,” katanya lagi.
Beliau turut berkongsi kenangan terakhir bersama ketika menghadiri majlis perkahwinan anakanda Allahyarham dan kehadirannya di majlis perkahwinan beliau sendiri di Ipoh sebelum ini.
”Allahyarham diberitakan menderita sakit apabila pembuluh darahnya pecah dan terpaksa ditidurkan. Saya belum berkesempatan menziarahinya, kita semua menjadi saksi atas amal solehnya dan keilmuannya.
”Takziah pada seluruh ahli keluarganya, semuga dirahmati Allah dan keampunannya, dan rohnya ditempatkan bersama para auliya’ dan Solehin,” ujarnya.
Jenazah Almarhum disolatkan di Surau Al-Jamaiyah Taman Hiburan, Hulu Kinta pagi tadi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Pekan Tambun, di sini. – *HARAKAHDAILY 31/10/2025*











