Kelantan lancar Blueprint Bandar Pintar 2040

Bukti komitmen pembangunan berpaksikan Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan melakar sejarah baharu apabila melancarkan Blueprint Bandar Pintar Negeri Kelantan 2040 yang menjadi panduan rasmi hala tuju pembangunan pintar berasaskan nilai Islam menjelang tahun 2040.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata, pelancaran dokumen itu bukan sekadar memperkenalkan dasar baharu, sebaliknya menandakan satu anjakan paradigma dalam cara mentadbir, merancang dan membangunkan negeri secara lebih komprehensif dan pintar.

Katanya, dokumen tersebut menjadi pelengkap kepada dasar ‘Membangun Bersama Islam’ melalui tiga teras utama iaitu Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan.

“Ini adalah kali pertama dalam sejarah Kelantan, kita menggariskan secara rasmi satu pelan hala tuju bandar pintar yang bukan sahaja mengambil kira aspek teknologi dan kemodenan, malah disepadukan dengan prinsip maqasid syariah dan dasar ‘Membangun Bersama Islam’,” katanya.

Beliau berkata, gagasan bandar pintar bukan hanya tentang kemajuan teknologi, tetapi merupakan usaha memastikan pembangunan fizikal, sosial dan rohani dapat diselaraskan secara seimbang.

“Teknologi bukan lagi dilihat sebagai alat duniawi semata-mata, tetapi sebagai wasilah untuk menegakkan maqasid syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta,” katanya.

Menurutnya, pelaksanaan blueprint itu membabitkan tujuh komponen bandar pintar, 35 dasar, 107 strategi, 198 inisiatif serta 238 sasaran dengan penglibatan 121 agensi pelaksana di seluruh negeri.

Katanya lagi, keberkesanan penyampaian pentadbiran amat bergantung kepada keupayaan mengurus maklumat dan menyampaikan perkhidmatan secara cepat, cekap dan telus agar kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Gunakanlah teknologi untuk membawa manusia kembali kepada Allah. Segala sistem pintar, digitalisasi dan aplikasi bandar bukan bertujuan menunjuk kemajuan, tetapi sebagai alat untuk memudahkan urusan agama, memperluas pendidikan Islam, serta menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Nassuruddin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Kelantan (PLANMalaysia Kelantan) atas inisiatif menyediakan dokumen tersebut.

Juga kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam yang berjaya memperoleh penarafan Bandar Pintar Tahap 1: Smart City Early Adopter.

Beliau berharap agar blueprint itu menjadi panduan strategik kepada pihak berkuasa tempatan dan semua agensi dalam membangunkan bandar-bandar di negeri ini secara lestari, berdaya saing dan berpaksikan nilai Islam.

Turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah, Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan, Dato’ Idham Abd Ghani dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rosnazli Amin. – HARAKAHDAILY 31/10/2025

- Advertisement -