
PAYA BESAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya menggesa pihak berkuasa bertindak segera membaiki ban pencegah banjir yang runtuh berhampiran Taman Bukit Rangin Perdana 2 di sini.
Beliau berkata, keadaan itu sangat membimbangkan kerana runtuhan tersebut semakin merebak dan berisiko menjejaskan keselamatan penduduk, khususnya ketika musim hujan.
“Kami turun ke lokasi meneliti keadaan sebenar. Jelas kelihatan struktur ban sudah lemah dan rosak teruk. Jika tidak diambil tindakan segera, dikhuatiri berlakunya hakisan lebih besar mengancam keselamatan rumah-rumah di kawasan berhampiran,” katanya.
Menurut beliau, isu tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana fungsi ban itu penting dalam mengawal aliran air dan melindungi taman perumahan daripada risiko banjir.
Keadaan cuaca tidak menentu pada masa ini juga katahya, menambah risiko kepada penduduk jika tindakan tidak diambil segera pada pengamatan pihaknya ketika turun di situ, semalam.
“Kami mohon pihak bertanggungjawab untuk menjalankan penilaian segera, melaksanakan kerja pembaikan atau pengukuhan ban dan mengambil langkah pencegahan sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini.
“Keselamatan rakyat tidak boleh ditangguhkan,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar berharap tindakan berkaitan dapat mengelakkan musibah tidak diingini dari terjadi.
Beliau turut memberi jaminan akan memantau rapat perkembangan isu berkenaan dan memastikan aduan penduduk mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib.
“Dari rakyat, untuk rakyat. Suara anda adalah amanah kami,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/2025











