
PERBAHASAN Belanjawan 2026 yang sedang berlangsung di Parlimen kini memasuki fasa penggulungan oleh para Menteri selepas hampir sepuluh hari dibahaskan. Pelbagai isu berkaitan hala tuju negara dibangkitkan — di mana setiap ringgit dan sen yang akan dibelanjakan dipersoalkan. Ia bukan lagi sekadar soal untung dan rugi, lebihan (surplus) atau defisit (deficit).
Namun, di tengah fokus terhadap angka dan keseimbangan fiskal, ada satu nilai yang kian hilang daripada kamus dasar — keberkatan. Kita sering bertanya “berapa banyak yang diperoleh,” tetapi jarang menyoal “bagaimana ia diperoleh dan ke mana ia dibelanjakan.”
Menilai kejayaan melalui pertumbuhan KDNK dan lebihan akaun semasa sememangnya penting. Tetapi ukuran itu akan lebih bermakna sekiranya kekayaan material turut diiringi nilai spiritual. Dalam Islam, keberkatan ialah keseimbangan antara halal dan haram, adil dan zalim, antara manfaat dunia dan maslahat akhirat. Ia tidak dapat diukur dengan indeks ekonomi, namun dapat dirasai melalui kesejahteraan moral masyarakat.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ mengingatkan:
“Apabila Kami hendak membinasakan sebuah negeri, Kami perintahkan orang yang mewah di antara mereka supaya taat kepada Allah, tetapi mereka menderhakai-Nya. Maka layaklah negeri itu dibinasakan.”
Ayat ini menjelaskan bahawa kemusnahan sesebuah bangsa tidak semestinya berpunca daripada kemiskinan, tetapi akibat kerosakan nilai dan keingkaran terhadap perintah Allah.
Keberkatan sebagai asas ekonomi — hilangnya menerbitkan kerosakan
Keberkatan ekonomi bermula daripada sumber hasil yang suci. Pendapatan daripada industri yang memudaratkan akhlak seperti arak, perjudian dan riba mungkin memberi keuntungan sementara, tetapi menanam benih kerosakan jangka panjang.
Sebaliknya, sumber halal dan pengagihan yang adil melahirkan kestabilan sosial. Negara yang menjadikan etika sebagai teras ekonomi bukan sahaja mengelakkan bencana moral, tetapi juga mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap sistem. Di sinilah letaknya makna sebenar keberkatan dalam belanjawan — bukan sekadar ‘cukup’, tetapi ‘mencukupi dan menyucikan’.
Apabila ekonomi terpisah daripada nilai, masyarakat kehilangan panduan moral. Tanda-tandanya kini jelas, terutamanya dalam sektor pendidikan dan sosial.
Laporan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan peningkatan hampir 100 peratus kes disiplin dan salah laku pelajar dalam dua tahun kebelakangan ini. Kes buli, pergaduhan, vandalisme dan tingkah laku lucah meningkat dengan ketara. Sementara itu, data Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) merekodkan lebih 5,400 kes rogol melibatkan remaja sekolah pada tahun lalu.
Ini bukan sekadar angka statistik, tetapi cerminan kehilangan panduan nilai. Sekolah yang dahulunya medan pembentukan budi kini menjadi gelanggang tekanan sosial. Guru pula berdepan generasi yang lebih terhubung dengan skrin berbanding dengan hati nurani.
Laporan National Health and Morbidity Survey (NHMS 2023) pula mendapati satu daripada empat remaja Malaysia mengalami tekanan emosi serius, manakala lebih 1,700 cubaan bunuh diri direkodkan dalam kalangan pelajar sepanjang tahun lalu. Angka ini seharusnya menggoncang nurani negara — kerana ia bukan sekadar masalah kurikulum, tetapi masalah makna hidup.
Setelah berbilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan kualiti pembelajaran, persoalannya: mengapa masalah sosial dalam kalangan pelajar masih meningkat? Di sinilah letaknya persoalan besar — apakah yang hilang daripada sistem pendidikan kita, jika bukan unsur spiritual dan keberkatan?
Pendidikan: Barometer moral negara
Kerosakan moral generasi muda kini semakin dipacu oleh pengaruh media sosial. Laporan UNICEF (2023) menunjukkan 73 peratus pelajar sekolah menengah di Malaysia terdedah kepada kandungan lucah atau ganas sekurang-kurangnya sekali seminggu. Dalam banyak kes buli dan jenayah seksual, unsur tiruan daripada kandungan digital menjadi punca utama.
Ironinya, negara yang tegas menapis kritikan politik sering kali lembut terhadap kandungan yang menghancurkan akhlak anak bangsa. Platform tidak bermoral dan permainan digital ganas berkembang tanpa kawalan. Kelemahan ini akhirnya diterjemah ke dunia nyata — pelajar meniru budaya hedonisme, masyarakat ketagih hiburan melampau, dan ibu bapa kehilangan kawalan terhadap anak-anak.
Apabila generasi muda belajar nilai daripada algoritma, bukan akhlak, maka runtuhlah benteng iman dan maruah bangsa.
Sekolah dan universiti adalah barometer nilai sesebuah negara. Di sinilah benih keberkatan perlu ditanam semula. Namun sistem pendidikan kita sering diheret antara dua kutub — satu menekankan pencapaian akademik, dan satu lagi memperkenal nilai spiritual tanpa landasan kukuh. Akibatnya, kita melahirkan generasi bijak menyusun angka, tetapi gagal membaca nurani.
Kerajaan boleh menambah peruntukan, membina makmal baharu dan memperkenalkan kurikulum STEM, tetapi tanpa roh dan bimbingan nilai, semua itu hanya menghasilkan minda tanpa arah. Kita sering bercakap tentang ‘reformasi pendidikan’, tetapi jarang membincangkan ‘reformasi jiwa pelajar’.
Perbelanjaan pendidikan sepatutnya dinilai bukan sekadar berdasarkan jumlah bilion ringgit yang disalurkan, tetapi juga pada kesan moral yang dihasilkan. Jika selepas berbelanja besar, kita masih menyaksikan pelajar hilang akhlak dan jati diri, maka belanjawan itu gagal membawa keberkatan.
Sumber dan perbelanjaan: Antara etika dan realiti
Setiap tahun, laporan kewangan negara memperkenalkan pelbagai bentuk cukai baharu. Tahun 2026 menyaksikan cadangan pelaksanaan cukai karbon atas alasan untuk meningkatkan hasil kerajaan. Namun diingatkan, beban fiskal tidak wajar dipindahkan kepada rakyat melalui peluasan cukai yang menekan, sedangkan industri berisiko moral masih diberi ruang.
Dalam jangka panjang, pendekatan ini hanya menambah jurang kepercayaan rakyat terhadap dasar awam. Sebaliknya, kerajaan wajar meneroka sumber alternatif yang lebih berkat dan lestari — antaranya ialah Ekonomi wakaf dan zakat produktif, dengan menjadikan dana Islam sebagai instrumen pelaburan sosial untuk pendidikan, kesihatan dan kebajikan.
Model seperti ini bukan fantasi. Negara seperti Indonesia dan Turki telah memperkenalkan Social Impact Waqf Fund dan Islamic Green Sukuk bagi membiayai pembangunan mampan. Malaysia juga mampu menjadi peneraju ekonomi berkat dunia Islam sekiranya dasar fiskal dan spiritual digabungkan semula.
Penutup: Menuju negara diredai
Melangkah ke hadapan, mengejar keberkatan dan keredaan Allah harus menjadi keutamaan. Negara yang hebat bukan hanya mampu membina menara tinggi dan lebuh raya panjang, tetapi yang mampu membina manusia yang bersyukur dan beramanah.
Belanjawan yang tidak mengambil kira keberkatan ibarat tubuh yang sihat tetapi berhati mati — kelihatan gagah, tetapi kosong jiwa. Keberkatan bukan sekadar doa pembuka mesyuarat, tetapi falsafah yang mesti menjiwai setiap keputusan fiskal dan sosial.
Apabila keberkatan hadir, angka kecil membawa hasil besar. Namun apabila ia hilang, walau belanjawan berbillion, masyarakat tetap gelisah.
Sejarah telah membuktikan — tamadun yang mengabaikan nilai akan rebah walaupun ekonominya makmur. Maka jika benar kita ingin membina Malaysia yang makmur dan sejahtera, langkah pertama ialah memastikan setiap sen yang keluar dan masuk dari kantung negara disucikan dengan iman, keadilan dan amanah.
Kerana di situlah letaknya keberkatan kerana tanpa keberkatan, kemajuan hanyalah bayangan yang menipu pandangan.
YB DATO’ SRI TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Ahli Parlimen Kubang Kerian – HARAKAHDAILY 31/10/2025











