Ugut: Kor Ming perlu minta maaf kepada wartawan, media

- Advertisement -

IPOH: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria mendesak Menteri Perumahan da  Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memohon maaf secara terbuka kepada wartawan dan institusi media.

- Advertisement -

​Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol berkata, permohonan maaf bukan tanda kelemahan, tetapi merupakan tanda kematangan dan tanggungjawab seorang pemimpin.

Terdahulu, tular video Kor Ming mengugut seorang wartawan ketika sidang media projek ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Ibu Negara, semalam.

​“Tindakan ini amat dikesali dan telah mendapat kecaman daripada badan-badan wartawan seperti Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm), yang menegaskan pentingnya menghormati kebebasan media.

​“Sebagai negara demokrasi, Malaysia tidak boleh bertolak ansur terhadap sebarang bentuk tekanan, ugutan atau layanan tidak berhemah terhadap wartawan,” tegasnya.

​Menurut beliau, apabila wartawan ditekan, ia membawa kesan langsung terhadap ketelusan pemerintahan dan hak rakyat untuk mengetahui kebenaran.

​Katanya, menteri yang memegang jawatan awam mesti menunjukkan ketenangan, kesabaran dan keterbukaan apabila berhadapan dengan soalan media.

​“Wartawan tidak boleh dijadikan sasaran kemarahan apabila soalan yang diajukan tidak menyenangkan. Marah atau mengugut bukanlah ciri seorang pemimpin yang berwibawa.

​“Saya dengan ini mendesak Nga Kor Ming memohon maaf secara terbuka kepada wartawan dan institusi media sekiranya laporan tersebut benar,” katanya.

​Dalam pada itu, Razman turut merakamkan penghargaan kepada semua wartawan dan pengamal media di seluruh negara atas komitmen mereka menyampaikan maklumat yang tepat dan seimbang kepada rakyat.

​Jelasnya, wartawan memainkan peranan penting sebagai wakil masyarakat dan menjadi jambatan antara rakyat dan kerajaan.

​“Kebebasan media serta hak wartawan untuk bertanya soalan adalah asas kepada sistem demokrasi. Tanpa kebebasan ini, rakyat akan kehilangan saluran maklumat yang bebas dan telus,” ujarnya.

​Beliau juga menggesa pihak institusi dan warga media di Malaysia dapat bersama-sama bersatu dalam menegakkan kebenaran demi kepentingan rakyat dan negara.

​“Saya komited mempertahankan kebebasan media dan hak wartawan untuk bertanya tanpa rasa takut atau tekanan.

​“Saya akan terus menggalakkan budaya pemerintahan yang terbuka, berhemah dan bertanggungjawab, selaras dengan prinsip demokrasi dan keadilan,” tambahnya.

​Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat turut menitipkan pesanan kepada warga media dan para pemimpin.

​“Kepada semua wartawan dan media, jangan risau, kami menghargai tugasan anda semua. Kepada semua pemimpin, hormatilah peranan masyarakat maklumat, kerana tanpa media yang bebas, demokrasi tidak akan subur,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 31/10/2025

- Advertisement -