
SEREMBAN: Tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang dilihat mengugut seorang wartawan berhubung penggunaan Bahasa Melayu sebagai tindakan tidak menghormati kebebasan media.
Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Fairuz Mohd Isa berkata, pihaknya menzahirkan bantahan keras terhadap tindakan menteri berkenaan.
Beliau merujuk kepada laporan akhbar dan organisasi wartawan yang mendokumentasikan insiden tersebut selepas soalan berkaitan penggunaan Bahasa Melayu dalam acara rasmi dikemukakan.
”Laporan akhbar dan organisasi wartawan mendokumentasikan insiden ini dan menggesa agar kebebasan media dihormati.
”Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan dan juga hak serta tanggungjawab bersama untuk memartabatkannya.
“Namun begitu, tugas wartawan ialah menanyakan soalan untuk kepentingan maklumat awam bukan untuk disoal atau dihukum,” katanya.
Belia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting berkata, mengugut wartawan adalah satu serangan terhadap kebebasan akhbar dan hak rakyat untuk mendapat maklumat.
Sehubungan itu, pihaknya menyokong kenyataan organisasi media dan kesatuan wartawan yang mengecam tindakan seumpama itu dan menggesa siasatan segera dibuat supaya pihak terlibat bertanggungjawab.
Pihaknya juga menuntut tindakan yang sewajarnya diambil, termasuk gesaan agar menteri berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada wartawan terlibat dan kepada institusi media terkesan.
“Pihak berkaitan perlu mengeluarkan penjelasan rasmi serta mengambil langkah pencegahan bagi menjamin keselamatan dan kebebasan wartawan, di samping memastikan media dan badan profesional diberi ruang penuh untuk menjalankan tugas tanpa gangguan atau ugutan,” katanya lagi.
Tegasnya, usaha mempertahankan Bahasa Kebangsaan tidak boleh dijadikan alasan untuk menindas kebebasan bersuara atau kebebasan media.
”Usaha memartabatkan Bahasa Melayu harus berjalan selari dengan penghormatan kepada institusi demokrasi dan kebebasan media. (Lihat juga rakaman dan klip berkaitan yang tular di media sosial).
”PAS Negeri Sembilan menggesa semua pihak khususnya pemimpin kerajaan agar lebih berhati-hati, berhemah dan mematuhi etika pentadbiran dalam berinteraksi dengan media,” ujarnya.
Tambah beliau, kebebasan media bukanlah musuh kepada Bahasa Kebangsaan, sebaliknya ia adalah elemen penting dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran awam.
Kelmarin, tular video Nga Kor Ming, ketika mengumumkan projek pencahayaan bandar ‘I Lite U’ di ibu negara, berang dengan soalan daripada wartawan _Utusan Malaysia_.
Wartawan tersebut dilaporkan bertanya mengapa tema projek itu menggunakan bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.
Kor Ming dilaporkan berkata dan mempersoal wartawan tersebut, “Awak dari media mana? Saya akan hubungi editor awak.” – HARAKAHDAILY 31/10/2025











