Denai Sungai Sala bakal jadi hab rekreasi, ekonomi

- Advertisement -

JERAI: Denai Sungai Sala bakal berubah wajah menjadi kawasan rekreasi, pusat pembangunan ekonomi dan medan aktiviti sosial baharu kepada masyarakat setempat, seiring usaha kerajaan negeri memajukan sektor pelancongan dan kesejahteraan rakyat.

- Advertisement -

Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, kawasan berkenaan turut menempatkan Pusat Mempelam Kedah yang menanam sebanyak 101 variati mempelam, menjadikannya aset unik yang berpotensi besar untuk diketengahkan sebagai tarikan pelancongan agro.

“Kita nak jadikan kawasan dataran di Denai Sungai Sala serta di Pusat Mempelam Kedah ini sebagai kawasan rekreasi dan pelancongan serta meningkatkan ekonomi setempat,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau.

Beliau berkata demikian dalam Program Jelajah Penerangan Kedah Sejahtera Tahun 2025 Peringkat Daerah Yan yang diadakan di Denai Sungai Sala, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, pihak kerajaan negeri melalui pentadbiran di peringkat daerah akan terus memastikan kawasan sekitar dimajukan agar memberi impak langsung kepada masyarakat melalui limpahan ekonomi serta pewujudan ruang rekreasi dan pelancongan baharu di negeri Kedah.

Ustaz Azam turut menegaskan bahawa kerajaan negeri komited memperjuangkan kebajikan rakyat, membangunkan dasar yang inklusif dan memastikan tiada golongan tercicir dalam arus pembangunan semasa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa TV Kedah telah diperkenalkan sebagai platform rasmi kerajaan negeri untuk memaparkan aktiviti-aktiviti negeri serta menyalurkan maklumat dengan lebih meluas kepada seluruh rakyat Kedah.

“Diharapkan pimpinan masyarakat dan rakyat seluruhnya merasai kehadiran aktiviti kerajaan di kampung masing-masing, di daerah masing-masing dan agensi-agensi untuk turun secara langsung menyantuni masyarakat,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa segala dasar dan inisiatif sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan mahupun sosial perlu difahami dan disampaikan kepada rakyat agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh.

Langkah tersebut katanya, adalah sejajar dengan visi Kedah Sejahtera yang menekankan keseimbangan pembangunan rohani dan fizikal demi kesejahteraan rakyat seluruh negeri. – HARAKAHDAILY 28/10/2025

- Advertisement -