
LANGKAWI: Pulau Legenda sekali lagi menjadi tumpuan dunia sukan apabila jaguh tarik tali dari seluruh benua Asia berkumpul bagi menyertai 15th Langkawi Asian Beach Tug of War Championships 2025 yang berlangsung penuh meriah di Dataran Tanjung Rhu, di sini.
Kejohanan berprestij itu menyatukan penyertaan dari enam negara serantau termasuk Chinese Taipei, India, Kuwait, Kyrgyzstan, Mongolia dan Malaysia, selain penyertaan khas daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sebanyak 44 pasukan bertanding dalam lapan kategori berat yang memperlihatkan kehebatan dan semangat juang tinggi para atlet.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Negeri, Muhammad Radhi Md Din menyifatkan penganjuran itu sebagai pemangkin besar kepada pembangunan sukan dan pelancongan negeri.
“Kejohanan ini membuktikan bahawa sukan tarik tali semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa selain menggalakkan penyertaan golongan belia,” katanya ketika merasmikan kejohanan berkenaan di sini baru-baru ini.
Beliau menambah, acara berimpak tinggi seperti ini seiring dengan aspirasi Tahun Melawat Kedah 2025, yang bukan sahaja memperkenalkan keunikan produk pelancongan tempatan, malah memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat khususnya di Langkawi.
“Kerajaan Negeri Kedah sentiasa menyokong penganjuran acara sukan yang mengangkat nama negeri ke peringkat global dan sekali gus mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai destinasi pilihan untuk penganjuran sukan pantai antarabangsa,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu.
Dengan kehadiran atlet, pegawai dan penyokong dari pelbagai negara, kejohanan ini bukan sekadar memperkukuh hubungan sukan serantau, tetapi turut menampilkan Langkawi sebagai gelanggang persahabatan dan semangat kesukanan sejati di persada Asia. – HARAKAHDAILY 28/10/2025












