Generasi saintifik kuasai teknologi, semikonduktor

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah komited untuk melahirkan generasi muda berfikiran saintifik dan berkemahiran tinggi, seiring dengan usaha menjadikan negeri ini sebagai peneraju ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Prof Dr Haim Hilman Abdullah berkata demikian ketika merasmikan Karnival Minggu Sains Negara (MSN) Zon Utara 2025 di Pusat Sains Negara Cawangan Wilayah Utara (PSNCWU), di sini.

Menurutnya, program ini menjadi platform penting dalam menyemai minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan interaktif dan menyeronokkan seperti pameran, pertandingan serta demonstrasi sains.

“Kita perlu bertanya di manakah pakar-pakar semikonduktor negara? Adakah mereka telah mencapai tahap terbaik dunia? Jika belum, apa perancangan kita?” tegas beliau.

Menurutnya, meskipun Malaysia kini menjadi tumpuan pelabur asing dengan pelaburan bernilai berbilion ringgit, negara tidak boleh berpuas hati hanya menjadi tapak kilang semata-mata tanpa menguasai teknologi strategik seperti semikonduktor dan tenaga hijau.

“Kita mahu rakyat dan anak bangsa sendiri menguasai teknologi ini. Kita mahu ‘supply chain’-nya diterajui oleh syarikat tempatan. Adakah kita sudah berada dalam ekosistem itu?” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra.

Beliau turut mengingatkan bahawa negara masih jauh untuk berada di barisan hadapan dalam persaingan global, justeru memerlukan kesungguhan luar biasa dalam memperkukuh bidang sains, inovasi dan penyelidikan.

“Kalau kita sedar betapa jauhnya kita ketinggalan, kita tidak akan tidur malam. Kita tidak akan rasa puas untuk senyum selagi negara lain jauh di hadapan dalam bidang ini,” ujarnya.

Dalam konteks tenaga hijau, katanya Kedah mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai negeri peneraju teknologi hijau paling maju di negara ini, namun cabarannya ialah memastikan rakyat negeri ini benar-benar menguasai pengetahuan dan kemahiran dalam sektor tersebut.

“Adakah dalam bidang solar kita sudah mampu bangunkan sendiri teknologi, faham tentang komponen, material dan cara panel itu dihasilkan? Hari ini kita masih jauh, kita masih ‘trading nation’, masih mengimport dan menjual semula,” jelasnya lagi.

Beliau menegaskan bahawa program anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini adalah pelaburan sosial penting dalam membina masa depan bangsa yang kreatif, inovatif dan berpaksikan ilmu.

“Sudah tiba masanya MOSTI dan Kerajaan Negeri untuk mula berfikir secara serius, bagaimana kita boleh melangkah kehadapan untuk menjadikan negeri kita Kedah sebahagian daripada cerita kebangkitan negara kita.

“Kerajaan mahu anak-anak Kedah bukan sekadar cemerlang akademik, tetapi juga menjadi pencipta masa depan. Semoga program seperti ini terus diperluas agar budaya ilmu dan penyelidikan subur dalam masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/10/2025

- Advertisement -