
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh hala tuju pembangunan negeri apabila menganjurkan program ‘Mai Kita Sembang Masa Depan Perlis’.
Program ini diadakan bersempena Sebaran Draf Rancangan Struktur Negeri (RSN) Perlis 2040 (Kajian Semula) serta Majlis Penyampaian Elaun Bulanan Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK).
Program itu menghimpunkan seramai 460 pengerusi dan setiausaha MPKK dari seluruh negeri, mencerminkan komitmen padu kerajaan negeri dalam memperkukuh agenda pembangunan mampan negeri.
Ianya juga bagi memastikan penyertaan aktif rakyat dalam perancangan strategik jangka panjang untuk negeri ini.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, menegaskan bahawa setiap perancangan pembangunan negeri perlu berpaksikan rakyat dengan memberi keutamaan kepada aspek kebajikan, kesejahteraan dan keterlibatan masyarakat.
Beliau turut berkongsi perkembangan mengenai pelaksanaan Rancangan Struktur Negeri Perlis 2040, yang kini sedang dirangka oleh PLANMalaysia Perlis.
Antara cadangan utama yang terkandung dalam draf tersebut termasuklah pembinaan lapangan terbang di Perlis sebagai salah satu pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Program berkenaan turut diserikan dengan taklimat dan sebaran Draf Akhir RSN Perlis 2040 (Kajian Semula) yang disampaikan oleh Pengarah PLANMalaysia Perlis, TPr Dr Mohamad Sabri Ahmad.
Melalui sesi ini, para peserta mendapat penerangan langsung mengenai hala tuju pembangunan negeri, selain berpeluang mengemukakan pandangan dan soalan dalam sesi soal jawab yang diadakan bagi memperjelas perancangan sedang dirangka kerajaan negeri.
Program turut diteruskan dengan ucapan penggulungan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Penerangan Digital, Asrul Aimran Abd Jalil, seterusnya menyempurnakan penyerahan kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) kepada 10 pemohon yang layak.
Juga disusuli dengan penyampaian elaun bulanan kepada wakil MPKK dengan disempurnakan oleh Menteri Besar serta pimpinan-pimpinan negeri yang hadir.
Secara keseluruhannya, program ‘Mai Kita Sembang Masa Depan Perlis’ bukan sahaja menjadi wadah perkongsian dasar pembangunan negeri, tetapi turut memperkukuh hubungan antara Kerajaan Negeri dan pemimpin komuniti di peringkat akar umbi.
Ia sekali gus memperlihatkan tekad Perlis untuk melangkah seiring visi RSN Perlis 2040 menuju negeri maju, sejahtera dan berdaya tahan. – HARAKAHDAILY 21/10/2025




















