
CAMERON HIGHLANDS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man membidas sikap kerajaan negeri yang disifatkan tidak adil dalam pemberian geran tanah kepada rakyat.
Beliau berkata, pemberian geran tanah dua ekar kepada anak muda di Temerloh seharusnya turut dinikmati penduduk di Jelai yang juga kawasan Menteri Besar Pahang.
“Menteri Besar datang ke Temerloh bagi anak muda dua ekar seorang. Takkan orang Temerloh sahaja dapat, orang Jelai tak dapat? Kawasan ni besar dan penting, sepatutnya tiga ekar seorang pun layak,” katanya ketika berucap dalam program Hogoh Jelai di sini, kelmarin.
Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden PAS menyifatkan tindakan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail itu sebagai cerminan politik pilih kasih, seolah-olah hanya menjaga kawasan yang dianggap tidak selamat bagi mereka.
“Di tempat yang mereka rasa selamat, mereka tak peduli rakyat,” sindirnya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Negeri Pahang dan Timbalan Presiden PAS.
Beliau berkata, kehadiran pemimpin pembangkang ke seluruh Dewan Undangan Negeri menerusi program seperti Hogoh membawa perubahan kepada rakyat.
“Bila kita turun ke DUN-DUN, rakyat nampak perubahan. Banyak program dijalankan dan bila kita bergerak, baru mereka (kerajaan) pun mula risau. Kementerian turun, tawar bantuan, bagi hadiah besar-besar dalam sukaneka, malah musim terdesak ni minta sungai pun boleh lulus.
“Tapi kalau kita lemah, kalau pembangkang lemah, dia tak peduli. Bila kita kuat, kita jadi suara pendesak, rakyat dapat manfaat,” katanya yang juga bekas Menteri Air dan Alam Sekitar (KASA).
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata program Hogoh Jelai juga merupakan lawatan balas selepas kerajaan negeri sebelum ini yang kerap mengadakan kunjungan ke kawasan pembangkang.
“Di DUN Cheka sahaja mereka dah datang lebih 20 kali. Ini lawatan balas atau mungkin lawatan penamat, insya-Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/10/2025











