Sokong 36 mangsa fail tuntutan sivil insiden Putra Height

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Kawasan Shah Alam menyokong sepenuhnya tindakan 36 penduduk Taman Putra Harmoni, Putra Heights yang telah memfailkan tuntutan sivil terhadap beberapa pihak berhubung tragedi letupan gas yang berlaku tahun lalu.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Shah Alam, Ir Ts Dr Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, tindakan saman itu wajar sebagai usaha menuntut pembelaan dan keadilan kepada mangsa.

Menurutnya, beliau dimaklumkan sehingga kini mangsa-mangsa masih belum menerima layanan sewajarnya daripada pihak berkuasa, khususnya Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan.

“Ini langkah yang sah di sisi undang-undang. Mangsa berhak mendapat keadilan selepas pelbagai kecuaian berlaku dalam proses kelulusan dan penyeliaan kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat umum, tiga entiti utama wajar dipertanggungjawabkan dalam kes ini iaitu Hong & Hong Homes Sdn Bhd sebagai pemaju projek rumah kedai di lokasi kejadian.

Juga Pinterest Ventures Sdn Bhd sebagai kontraktor yang sedang dalam tindakan tatatertib ketika mendapat Kebenaran Merancang dan Permit Korekan, serta Majlis Bandaraya Subang Jaya yang meluluskan permohonan kerja walaupun mengetahui status kontraktor berkenaan.

Selain itu, beliau berpandangan dua lagi pihak sepatutnya turut dinamakan dalam tindakan saman bagi memastikan tanggungjawab dikongsi sepenuhnya, iaitu KUSEL Sdn Bhd dan Raid Synergy Sdn Bhd.

“KUSEL adalah anak syarikat milik penuh MBI Selangor yang dipengerusikan oleh Menteri Besar sendiri. Mereka menerima dan memproses permohonan permit korekan daripada pemaju sebelum diserahkan kepada MBSJ.

“Berdasarkan penjelasan MB, KUSEL telah mengesan status tatatertib Pinterest Ventures, tetapi gagal menghentikan proses permohonan. Soalnya, mengapa permohonan itu masih diteruskan ke MBSJ sedangkan pelanggaran telah diketahui?” ujarnya.

Sementara itu, Raid Synergy Sdn Bhd pula dikatakan merupakan kontraktor lantikan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang menjalankan kerja di kawasan Right of Way (ROW), namun tidak disebut dalam laporan siasatan rasmi.

“Jika benar mereka melakukan kerja di kawasan ROW, mereka juga wajar dipertanggungjawabkan terhadap insiden ini,” katanya.

Dr Nurul Islam turut menegaskan bahawa PETRONAS sebenarnya turut menjadi mangsa kepada kegagalan sistem pengawasan dan kelulusan Kerajaan Negeri, apabila kontraktor bermasalah seperti Pinterest Ventures dibenarkan bekerja di kawasan sensitif oleh MBSJ.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan Negeri Selangor segera menjalankan audit ke atas semua kelulusan lampau untuk mengesan mana-mana bangunan atau projek yang mungkin dibina melalui kelemahan proses kelulusan yang sama.

“Analisis teknikal terhadap integriti struktur bangunan perlu dilaksanakan segera bagi memberi jaminan keselamatan kepada penduduk dan rakyat Selangor,” tegasnya.

Menurutnya lagi, kerajaan negeri perlu membentangkan pelan penambahbaikan proses kelulusan agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan supaya tragedi seperti ini tidak berulang. – HARAKAHDAILY 21/10/25

- Advertisement -