
SHAH ALAM: Ketua Penerangan PAS Kawasan Shah Alam, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff mempersoalkan sikap berdiam diri Menteri Besar Selangor dan agensi-agensi Kerajaan Negeri berhubung isu letupan gas Petronas di Putra Heights yang membabitkan kontraktor kontroversi.
Beliau berkata sudah lebih tiga bulan Sidang DUN Selangor ditangguhkan, namun kelemahan agensi kerajaan negeri dan misteri syarikat yang melakukan kerja atas Rezab Jalan (ROW) masih belum dijawab dengan telus.
“Sebelum ini saya telah membangkitkan mengenai syarikat Pinterest Ventures Sdn Bhd, kontraktor projek rumah kedai tersebut. Ketika Kebenaran Merancang dan permit korekan diluluskan, syarikat ini berada dalam senarai tindakan tatatertib oleh CIDB. Bagaimana agensi-agensi terlibat boleh meluluskan?” katanya.
Menurutnya, KUSEL (anak syarikat penuh MBI Selangor) dan MBSJ sebagai PBT bertanggungjawab di bawah pentadbiran MB Selangor perlu menjelaskan mengapa kelulusan diberikan walaupun syarikat terbabit blacklist oleh CIDB dan tidak mempunyai kod bidang CE19 untuk kerja pembentungan.
“Ini macam lesen memandu kereta tetapi bawa lori. Memang haru jadinya,” ujarnya lagi memetik kenyataan MB Selangor dalam Sidang DUN sebelum ini yang mengesahkan status Pinterest Ventures, tetapi mendakwa kerja dalam ROW dilakukan oleh Raid Synergy Sdn Bhd, kononnya ia kontraktor yang dipantau Petronas.
Bagaimanapun, semakan beliau mendapati syarikat itu juga tidak memiliki kod bidang CE19.
“Adakah MB Selangor hendak mengatakan Petronas melantik kontraktor ‘cap ayam’ untuk buat kerja dalam ROW? Malangnya MB Selangor terus senyap selepas itu, PETRONAS juga senyap. Tiada penjelasan mengenai Raid Synergy Sdn Bhd. Tersalah cakap barangkali,” katanya.
Beliau menegaskan perkara ini menunjukkan kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dan kegagalan memastikan rakyat dilindungi daripada bencana seperti ini.
“Perkara sebegini bukan sahaja merisikokan keselamatan awam, malah menjejaskan integriti proses perolehan dan kelulusan agensi kerajaan. Kerajaan Negeri perlu bertanggungjawab dan memberi jawapan yang jelas kepada rakyat,” tegasnya.
Nurul Islam berharap isu ini tidak berulang dan mangsa-mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.
“Semoga rakyat Selangor dilindungi daripada kelemahan dan kegagalan kerajaan negeri yang dipimpin MB Selangor,” katanya. – HARAKAHDAILY 07/10/2025














