Karnival Usahawan: Platform strategik salur maklumat

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Penganjuran Karnival Usahawan Kedah dilihat sebagai platform strategik terbaik bagi Kerajaan Negeri untuk menyalurkan maklumat berkaitan dasar, insentif serta inisiatif sokongan secara terus dan menyeluruh kepada golongan sasar.

- Advertisement -

​Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, penganjuran program berskala besar yang menghimpunkan usahawan, penjaja dan peniaga kecil di bawah satu bumbung amat berkesan untuk tujuan tersebut.

​”Karnival ini menjadi platform terbaik untuk kerajaan negeri menyalurkan maklumat dasar, insentif serta inisiatif sokongan dengan lebih menyeluruh kerana khalayak sasar dihimpunkan di bawah satu program,” ujarnya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Kedah dan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Negeri Kedah 2025 di Perkarangan Amanjaya Mall, di sini pada Khamis.

​Menurut Mohd Salleh, karnival anjuran Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK) itu, yang julung kalinya digabungkan dengan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil, bukan sekadar sebuah pesta jualan.

Sebaliknya, ia bertujuan mewujudkan ekosistem perniagaan yang saling melengkapi, di mana usahawan besar dapat berhubung terus dengan peniaga kecil untuk mewujudkan peluang kolaborasi baharu, perkongsian sumber dan idea inovasi.

​“Kerajaan negeri mahu peniaga kecil di Kedah tampil bukan sekadar sebagai ‘survivor’ ekonomi, tetapi sebagai pencipta nilai baharu.

“Kita harus berani meneroka bidang yang praktikal dan dekat dengan kemampuan kita,” tambahnya.

​Karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 16 hingga 19 Oktober itu turut menjadi medan perkongsian ilmu, di mana penjaja dan peniaga kecil dapat mempelajari strategi perniagaan moden manakala usahawan pula berpeluang memahami selok-belok perniagaan di peringkat akar umbi. – HARAKAHDAILY 19/10/2025

- Advertisement -