
KUALA NERUS: Seramai 219 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Mengabang Bakong menerima Borang 5A dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Dewan Cenderawasih, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, penyerahan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menunaikan janji manifesto yang dibuat sebelum ini, walaupun kini sudah memasuki penggal kedua pentadbiran.
“Hari ini majlis penyerahan Borang 5A yang diadakan menjadi satu khabar gembira yang dinantikan oleh bakal penerima geran tanah yang ditempatkan di RTB kediaman Mengabang Bakong.
“Ini menunjukkan komitmen kita menyelesaikan baki manifesto yang lalu masih lagi berjalan di penggal kedua ini,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini, Khamis lalu.
Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan proses penyerahan lot tanah kepada penerima RTB terkilan diselesaikan dengan segera agar hak milik tanah dapat dimuktamadkan dalam tempoh yang sewajarnya.
“Kerajaan negeri berusaha untuk menyelesaikan proses penyerahan lot tanah kepada penerima-penerima RTB terkilan dengan secepat mungkin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 19/10/2025




















