Ewan Dodol wajar jadi contoh kepada anak muda

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kejayaan seorang usahawan Orang Kelainan Upaya (OKU), Mohd Eizwan Solleh, 28, dalam membangunkan jenama Ewan Dodol sehingga ke peringkat antarabangsa wajar dijadikan inspirasi buat golongan belia.

- Advertisement -

​Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak, menyifatkan semangat dan kegigihan yang ditunjukkan oleh Mohd Eizwan perlu menjadi contoh teladan kepada seluruh anak muda di negeri ini.

​“Usahawan seperti beliau wajar menjadi contoh kepada anak muda lain untuk berusaha gigih mencapai kejayaan tanpa menjadikan kekurangan sebagai alasan,” ujar beliau.

​Terdahulu, Rashidi mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Negeri, Dhowahir Ab Ghani, dalam satu lawatan ke kilang Ewan Dodol di Anak Bukit.

​Turut hadir, Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Azman Ismail.

​Dengan sokongan padu daripada bapanya, Solleh Wahab, 60, perniagaan yang diilhamkan pada tahun 2017 itu kini menempah nama bukan sahaja di pasaran tempatan, malah di luar negara.

​Bermodalkan pelaburan awal sekitar RM100,000 untuk mesin pemprosesan moden, Ewan Dodol berjaya membawa inovasi kepada produk tradisional itu dengan memperkenalkan pembungkusan unik dalam bekas ‘sumi cup’ yang praktikal.

​Selain kepelbagaian perisa seperti durian dan pandan, syarikat itu turut mempunyai sasaran pasaran tersendiri.

Difahamkan, perisa strawberi dan blueberry mendapat sambutan hangat dalam kalangan penduduk di Perlis, manakala perisa cappuccino pula menjadi kegemaran pelanggan di sekitar Kuala Lumpur.

​Kejayaan inovasi ini turut melayakkan Ewan Dodol menerima Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kedah 2025.

​Daripada jualan kurang RM10,000 sebulan, perniagaan tersebut kini mencatat peningkatan yang membanggakan dan berjaya menembusi pasaran Singapura serta Thailand.

​Terkini, Ewan Dodol sedang giat melebarkan sayap pemasarannya dengan menyertai Melaka International Halal Festival (MIHF) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada Oktober.

​Syarikat itu juga kini dalam perancangan untuk memasuki pasaran China dan Dubai melalui pameran antarabangsa seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) dan menyasarkan untuk mengeluarkan sehingga 22 jenis perisa pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 19/10/2025

- Advertisement -