Kes jenayah di sekolah, isyarat untuk kita semua

- Advertisement -

NAMPAK seperti ada satu isyarat yang sedang disampaikan dari langit, isyarat Pencipta untuk kita yang diciptaNya.

Cabul, buli, rogol, bunuh, seks suka sama suka. Diberitakan berlaku hampir setiap hari. Ini bukan sekadar jenayah, ini musibah yang ada isyaratnya. Isyarat supaya manusia perlu kembali kepada fitrah.

Islam adalah agama fitrah. Kembali kepada fitrah bermaksud kembali kepada penyelesaian Islam.

Pemimpin, rakyat, undang-undang, persekitaran, rumah tangga, media sosial, pengajaran, pembelajaran, semua perlu diukur kembali. Adakah selari dengan kehendak Islam. Pemimpin elok, eloklah rakyat. Pemimpin rosak, lingkuplah rakyat.

- Advertisement -

Satu perkara yang tidak boleh ditinggalkan adalah memohon pertolongan Allah. Minta tolong manusia, kalau kena gaya, baru manusia tolong. Tapi minta tolong dengan Allah, Allah pasti tolong. Ada caranya. sabar dan solat.

Sabar. Semua yang berlaku ini ujian. Bersabar dengan ujian. Pemimpin diuji. Rakyat diuji. Tujuan diuji untuk ukur, makin jauh atau makin dekat kepada Allah. Jika nak makin dekat, kena tegakkan solat.

Ibu bapa mesti ajar anak solat ketika masuk usia 7 tahun (Darjah 1). Apabila masuk usia 10 tahun (Darjah 4), jika tidak solat, bolehlah dipukul. Bukan pukul sampai luka berdarah. Tapi pukul sebagai satu hukuman untuk memberi peringatan. Siapa ajar, Nabi Muhammad SAW yang ajar begitu.

Sebab itu orang tua-tua dulu-dulu gantung rotan dekat dinding rumah. Rotan itu akan hinggap di badan kalau tak solat. Saya pernah rasa rotan itu.

Rotan digantung, supaya dapat dilihat oleh anak. Tengok saja rotan di dinding, terus bingkas bangun solat. Sebab pernah rasa pedih kena rotan sebelum ini. Memang pedih. Tak mahu pedih itu datang, maka segera bangun solat, tanpa disuruh.

Tempat tidur anak lelaki perempuan perlu asing, sewaktu usia masuk 10 tahun. Nabi SAW yang ajar begitu. Apa tujuannya? Untuk memelihara aurat, menjaga pandangan, mencegah daripada berlaku sesuatu kejadian yang tidak patut berlaku antara lelaki dan perempuan.

Hari ini, rotan sudah tidak ada. Bukan setakat itu, tinggi suara kepada pelajar juga sudah tidak boleh. Apatah lagi rotan. Ibu ayah, ada yang menengking cikgu, marah cikgu kerana cikgu itu marah anaknya yang buat salah. Yang buat salah dibela. Yang menegur dimarahi. Dunia sudah terbalik.

Aurat urat lelaki perempuan sudah tidak terjaga. Di rumah, di tempat kerja, di sekolah, di jalan raya, di dalam telefon, orang berpakaian ikut suka. Bukan ikut apa yang Nabi SAW suruh. Nak cari _view._ Bukan nak cari redha.

Maka jadilah krisis sosial seperti apa yang kita lihat hari ini. Buli, cabul, rogol, bunuh. Tiada manusia mahu semua ini terjadi. Melainkan dia bukan manusia.

Apa yang terjadi adalah isyarat Allah kepada kita. Isyarat supaya kita jangan terlajak jauh. Kembali semula kepada fitrah. Kembali kepada penyelesaian Islam.

Penyelesaian dah ada. Sama ada kita mahu buat, atau buat-buat mahu. Terpulang pada kita.

USTAZ AFNAN HAMIMI DATO’ TAIB AZAMUDDEN
Ketua Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 19/10/2025

- Advertisement -