
SHAH ALAM: Kejadian tragis seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut selepas ditikam di sebuah sekolah di Selangor pada 14 Oktober lalu mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan pelajar di institusi pendidikan negara.
Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor melahirkan rasa sedih dan dukacita, selain mengecam sekeras-kerasnya tindakan keganasan berlaku di kawasan sekolah selaku tempat yang sepatutnya menjadi ruang aman bagi pembelajaran dan pembentukan akhlak pelajar.
Ketua Ulamak PAS Selangor, Ustaz Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, tragedi tersebut wajar dijadikan pengajaran kepada semua pihak agar lebih serius dalam menangani isu keselamatan, emosi dan kesejahteraan pelajar di sekolah.
“Tiada ruang buat kekerasan dalam sistem sekolah,” katanya beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burung.
Beliau turut menuntut agar pihak berkuasa, termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, pihak sekolah dan polis, bertindak pantas serta telus dalam menjalankan siasatan bagi memastikan keadilan kepada mangsa dan keluarganya.
Selain itu, Ustaz Dr Mohd Zamri menggesa supaya langkah-langkah pencegahan dilaksanakan segera bagi mengelakkan tragedi sama berulang pada masa depan.
Antara cadangan dikemukakan ialah pengukuhan program kaunseling dan pemantauan kesihatan mental pelajar di semua sekolah, latihan kesedaran kepada guru, kakitangan dan pelajar mengenai pengurusan konflik.
Juga katanya, pencegahan keganasan serta kaedah mediasi dan kawalan akses terhadap senjata tajam di kawasan sekolah melalui pemeriksaan keselamatan secara berkala.
Beliau turut mencadangkan penubuhan mekanisme ‘whistleblower’ bagi membolehkan pelajar atau staf melaporkan ancaman atau perilaku tidak wajar tanpa rasa takut.
Turut disarannya adalah meningkatkan kerjasama antara sekolah, ibu bapa, pihak keselamatan dan organisasi masyarakat dalam menjaga persekitaran sekolah yang selamat.
Dalam masa sama, Ustaz Dr Mohd Zamri menyeru pihak media agar melaporkan insiden tersebut dengan penuh tanggungjawab dan sensitif terhadap keluarga mangsa serta warga sekolah, bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menambah kesedihan dan kekeliruan.
Beliau turut mengajak semua pihak termasuk kerajaan negeri, wakil rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), ibu bapa dan masyarakat umum untuk berganding bahu memastikan keselamatan pelajar sentiasa terpelihara.
“Sekolah mesti menjadi ruang yang bukan sahaja mendidik intelek, tetapi juga melindungi nyawa dan akhlak,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 16/10/2025




















