
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah akan meneruskan komitmennya dalam memperkasakan pendidikan masyarakat India dengan menyalurkan peruntukan kepada 20 lagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh negeri ini pada tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan NGO Negeri, Wong Chia Zhen berkata, inisiatif itu adalah kesinambungan daripada bantuan yang telah diberikan kepada 16 buah SJKT pada tahun lalu.
Menurut beliau, aspek pendidikan merupakan salah satu daripada tiga teras utama yang sentiasa diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan masyarakat India, selain hal ehwal agama dan kebajikan am.
“Kerajaan Negeri Kedah amat peka dan ambil berat terhadap keperluan masyarakat India. Perkara ini sentiasa dibincangkan dalam mesyuarat Exco untuk tindakan susulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Hamper Deepavali 2025 yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman, di sini semalam.
Pada majlis itu, kerajaan negeri menyerahkan 1,000 pek sumbangan beserta bantuan tunai berjumlah keseluruhan RM116,500 kepada penerima dalam kalangan masyarakat India dari seluruh daerah di Kedah sempena sambutan Deepavali tidak lama lagi.
Dalam pada itu, Wong turut menyentuh mengenai usaha kerajaan negeri mencari penyelesaian isu tapak sebuah kuil di Jabatan Kerja Raya (JKR) Tongkang Yard, yang membuktikan keprihatinan dalam hal ehwal keagamaan masyarakat India.
“Kerajaan negeri sedang berusaha mencari tapak baharu untuk mereka berpindah dan saya ditugaskan untuk berbincang dengan semua pihak bagi mencari penyelesaian terbaik tanpa menjejaskan keharmonian,” jelasnya.
Pihaknya juga akan terus menyantuni masyarakat India supaya mereka sentiasa merasa dihargai dan diraikan dalam suasana harmoni, selari dengan prinsip Kedah Sejahtera Nikmat untuk Semua. – HARAKAHDAILY 17/10/2025




















