Deepavali: PAS santuni kaum India hulur sumbangan

- Advertisement -

BUKIT MERTAJAM: Semangat perpaduan dan kasih sayang merentasi kaum terus dizahirkan apabila PAS Kawasan Bukit Mertajam menganjurkan program sumbangan kepada masyarakat India sempena sambutan Deepavali.

- Advertisement -

Majlis tersebut dianjurkan dengan kerjasama Lajnah Perpaduan Nasional (LPN) PAS Negeri Pulau Pinang dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Bukit Mertajam di Markas PAS Taman Sri Janggus, Alma, di sini.

Program hasil usaha dan inisiatif Ketua DHPP Bukit Mertajam, Kusala Kumari A Shanmugam itu menyaksikan seramai 25 penerima kaum India diberikan bantuan barangan keperluan asas.

Pegawai Khas Sekretariat ADUN PAS, Steven Koh berkata, program ini memperkukuh hubungan antara PAS dan masyarakat bukan Islam dan Inisiatif ini diharap dapat meringankan beban penerima terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup sempena musim perayaan.

“Program ini bukan sekadar menyampaikan sumbangan, tetapi juga sebagai tanda penghargaan dan kasih terhadap sahabat-sahabat kaum India yang bersama membina keharmonian masyarakat majmuk di Bukit Mertajam,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas, Ustazah Dr Siti Mastura Muhammad, selaku Ahli Jawatankuasa LPN Negeri, yang turut menyampaikan ucapan penghargaan atas keprihatinan PAS terhadap kebajikan masyarakat pelbagai kaum.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Mertajam, Norazman Ishak, bersama pimpinan kawasan serta wakil-wakil lajnah yang menjayakan program tersebut.

Penganjuran ini mencerminkan komitmen PAS dalam mengamalkan politik rahmah dan kebajikan, tanpa mengira kaum atau agama, selaras dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional dan keadilan sosial untuk semua. – *HARAKAHDAILY 17/10/2025*

- Advertisement -