
KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff melahirkan kebimbangan dengan laporan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), bahawa lebih 70 peratus pelajar sekolah rendah di bandar telah memiliki akses kepada telefon pintar.
Manakala hampir separuh daripada 70 peratus itu kata Ahli Parlimen Rantau Panjang tersebut daripada laporan tersebut, telah mempunyai akaun media sosial sebelum berusia 13 tahun.
Beliau berkata, statistik ini amat membimbangkan memandangkan umur tersebut masih belum cukup matang untuk menilai kandungan serta risiko dalam media sosial.
“Saya tidak nafikan kecanggihan teknologi moden boleh membawa pelbagai manfaat, namun jika penggunaanya tanpa kawalan, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, ia menjadi satu ancaman yang amat membimbangkan.
“Telefon pintar dan media sosial, jika tidak digunakan dengan bijak, boleh mendatangkan pelbagai kesan negatif terhadap perkembangan mental, emosi dan sosial golongan muda,” katanya.
Lebih membimbangkan tegas beliau, kanak-kanak mudah terdedah dengan pelbagai bentuk ancaman digital seperti siberbuli, kandungan lucah, pemangsa dalam talian, serta penyebaran maklumat palsu.
Menurut beliau, ramai ibu bapa masih tidak menyedari bahawa anak-anak mereka menggunakan media sosial tanpa sebarang pemantauan atau panduan.
Katanya, jika dibiarkan tanpa kawalan dan tindakan daripada semua pihak bahana telefon pintar ‘smartphone’ dan media sosial akan terus menjerat generasi muda dalam dunia maya yang tidak mengenal sempadan.
Beliau berkata demikian susulan pasukan Polis telah menumpaskan satu kumpulan dikenali sebagai ‘Geng Budak Sekolah’ yang terlibat dalam jenayah seksual, termasuk membabitkan kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata, laman web itu dikendalikan bersama empat rakannya malah mereka mempunyai satu kumpulan WhatsApp yang terdiri 762 ahli.
“Masing-masing ambil gambar bahagian tubuh masing-masing, kemudian jual. Dia berhenti sekolah sebab pendapatan jauh lebih tinggi daripada ibu bapanya,” katanya baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 17/10/2025
















