Pengaruh video game, pornografi perlu dibendung

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ustaz Mohd Asri Mat Daud, menegaskan keperluan institusi keluarga, masyarakat dan kerajaan memainkan peranan bersama bagi membendung pengaruh video game ganas serta pornografi yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja masa kini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri itu berkata, rakyat Malaysia digemparkan dengan berita pembunuhan pelajar perempuan Tingkatan Empat yang ditikam oleh pelajar Tingkatan Dua sekolah sama di Petaling Jaya baru-baru ini.
 
Jelasnya, kes itu sudah pasti dalam siasatan pihak berkuasa, namun tular sekeping nota tulisan tangan dengan maksud dunia ini palsu dan dia telah menang serta perkataan ‘Zero Day’ yang merujuk kepada terminologi permainan video dalam kalangan anak muda, seolah-olah simulasi permainan video diterjemah ke alam realiti.
 
Beliau turut merujuk dua kejadian rogol di sekolah yang berlaku selang beberapa hari dalam tempoh seminggu melibatkan pelajar sekolah dan berlaku dalam kawasan sekolah.
 
Ulas beliau, antara puncanya ialah kemudahan mendapatkan akses pornografi dengan mudah tanpa kawalan serta sifat remaja yang mudah dipengaruhi selain pengaruh secara langsung pornografi dalam talian menimbulkan rasa ingin mencuba sehingga berlakunya kejadian tidak pernah dibayangkan berlaku di kawasan sekolah.
 
“Justeru, adalah menjadi kebimbangan dalam kalangan masyarakat dan sudah pastinya pihak kerajaan terhadap perkembangan yang membimbangkan ini.
 
“Saya percaya institusi keluarga boleh menjadi benteng yang ampuh untuk mengekang situasi yang parah daripada terus berleluasa,” ujarnya dalam satu kenyataan.
 
Beliau berkata, kawalan ibu bapa dan anggota keluarga terhadap penglibatan ahli keluarga dengan video game dan akses pornografi boleh menghalang berlakunya perkara di luar jangkaan.
 
“Institusi keluarga mesti memastikan tiada video game ganas dimuat naik dalam telefon anak-anak dan kesedaran tentang bahaya pornografi kepada kesihatan mental perlu diingatkan secara konsisten,” desaknya.
 
Ustaz Mohd Asri turut menegaskan bahawa institusi keluarga diharap boleh mengesan sebarang tindakan luar kawalan melalui simptom kemerosotan kawalan emosi dan mental anak-anak yang terjebak dengan permainan video ganas dan di bawah pengaruh pornografi melalui carian mudah diakses.
 
“Sebarang kepelikan terhadap anak-anak dan ahli keluarga harus segera diperbetulkan melalui pendekatan sebagai sebuah keluarga yang saling mengambil berat antara satu sama lain,” kupasnya.
 
Beliau turut menegaskan bukan sahaja institusi keluarga, bahkan kerajaan juga perlu bertanggungjawab terhadap kandungan siber dan aplikasi dalam talian.
 
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) perlu berperanan dalam menyekat kandungan atas talian berbentuk mengancam termasuk permainan video berunsur ganas, lucah dan tidak senonoh.
 
“Adalah menjadi kewajipan kerajaan untuk menambah baik SOP (Prosedur Operasi Standard) sedia ada dengan lebih agresif dan sensitif terhadap perkembangan semasa yang membimbangkan terutama melibatkan kecerdasan buatan (AI) tanpa kawalan,” desaknya lagi.
 
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para asatizah dan pendakwah agar sentiasa memasukkan agenda kefahaman berkaitan isu yang mencengkam terutama melibatkan kandungan dalam talian yang menyalahi hukum dan akhlak dalam siri kuliah, tazkirah dan ceramah di tempat masing-masing.
 
“Silibus pengajian awam perlu berkait dengan keperluan semasa dan pelbagai isu melibatkan media sosial serta aplikasi permainan video yang ganas, kelucahan pornografi, bersalahan akidah dan tusukan halus agenda pluralisme agama serta hedonisme wajar dijadikan sebutan nasihat dalam setiap sesi kuliah.
 
“Inilah tugas asatizah dan pendakwah yang perlu dilaksanakan sebagai pembimbing masyarakat Islam,” gesanya beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit.

- Advertisement -

Ustaz Mohd Asri berkata, institusi pendidikan dalam negara juga perlu memainkan peranan penting dengan guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru) PIBG dan persatuan pelajar serta kelab sekolah menyusun kempen kesedaran berkaitan bahaya video game ganas dan jebakan pornografi.
 
Menurutnya, institusi pendidikan boleh berperanan sebagai pusat mitigasi terhadap kepincangan yang berlaku disebabkan kemerosotan perkembangan sosial, kecelaruan moral dan mental anak-anak pelajar.
 
“Peranan program pembimbing rakan sebaya bukan lagi dalam konteks pembelajaran tetapi perlu kepada sistem sokongan terhadap perkembangan sosial dan kecelaruan mental disebabkan masalah pengaruh video game dan pornografi sehingga merubah personaliti,” ulasnya.
 
Beliau berkata, bagi mengembalikan kecemerlangan pendidikan negara, asas pendidikan Islam sebenar perlu dikembalikan dengan menguatkuasakan semula kuasa guru merotan murid sebagaimana Surat Pekeliling Ikhtisas tahun 2003 seperti ditetapkan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia.
 
“Pelaksanaan hukuman rotan diberikan kepada pengetua, guru besar dan guru yang diberikan kuasa mestilah difahami sebagai alat untuk mendisiplinkan dan bukan bagi tujuan merosakkan fizikal atau mental. Hanya sebagai pengajaran bahawa setiap kesalahan ada hukumannya,” terangnya.
 
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh agensi agama negeri memberikan penumpuan serius memastikan pegawai-pegawai agama negeri, termasuk pegawai Halaqat, meneruskan agenda menghalang pengaruh video game berunsur keganasan dan kelucahan pornografi dalam setiap siri aktiviti dan program kepada remaja.
 
“Semua pihak hendaklah memainkan peranan komprehensif dalam membantu menyelesaikan isu yang semakin membarah ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2025

- Advertisement -