
ALOR SETAR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa agar mengambil tindakan segera menyekat semua kandungan lucah dan anasir budaya songsang di internet, yang menjadi punca utama keruntuhan moral di kalangan generasi muda hari ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempersoal keutamaan suruhanjaya itu yang dilihat lebih pantas bertindak menyekat kandungan berunsur politik berbanding bahan lucah yang merosakkan masyarakat secara terang-terangan.
Mengulas mengenai kes jenayah seksual terbaharu yang berlaku di Baling, Muhammad Sanusi berkata, pengaruh luar masuk tanpa kawalan melalui peranti digital adalah antara punca utama masalah tersebut.
“MCMC boleh mengawal semua ini. Ambil tindakan segera, sekat semua bahan yang boleh menimbulkan pengaruh budaya songsang yang tidak sesuai dengan masyarakat Timur.
“Kenapa laman-laman lucah ini boleh dibiarkan, tetapi kandungan politik boleh disekat? Ini kerana mereka tidak mahu buat kerja,” tegasnya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Hamper Deepavali di Wisma Darul Aman, di sini semalam.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, tindakan pencegahan perlu diutamakan kerana untuk merawat masalah sosial yang sudah berlaku adalah sangat rumit.
“Negara ada kuasa, media, internet boleh dikawal oleh agensi. Jangan liberalisasikan semua perkara, masyarakat kita belum bersedia untuk menapis sendiri,” katanya.
Tambahnya, elemen dosa dan pahala juga perlu ditekankan semula dalam segenap aspek pendidikan, termasuk dalam subjek Pendidikan Jasmani, bagi membina benteng keimanan dalam diri pelajar.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat turut mengulangi pendiriannya mengenai kepentingan hukuman dalam pendidikan sebagai satu kaedah mendidik.
“Lima tahun dulu saya pernah cakap pasal rotan. Nak mendidik macam mana? Mendidik ini kena ada ganjaran dan ada hukuman, bukan semua ganjaran sahaja,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan sokongan kepada para guru yang banyak berjasa dan sepatutnya diberi penghargaan atas usaha mereka mendidik anak bangsa, bukannya dihukum. – HARAKAHDAILY 17/10/2025



















