
KUALA LANGAT: Ribut puting beliung yang melanda Kampung Medan, Sijangkang, di sini kelmarin mengakibatkan kerosakan besar kepada rumah penduduk serta sebahagian bangunan sekolah di kawasan itu.
Pengerusi Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia), Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary sehubungan itu turun ke lokasi bersama Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.
Turut bersama Pengarah Khidmat Malaysia Selangor, Sabirin Marsono, turun meninjau lokasi kejadian sekitar jam 12 tengah malam itu bagi menilai keadaan serta menyusun bantuan segera kepada mangsa.
“Pasukan Khidmat Malaysia telah digerakkan sejurus kejadian untuk membantu mangsa terjejas. Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Harmoni Kampung Sijangkang yang menempatkan 18 mangsa daripada lapan keluarga,” ujarnya.
Beliau berkata, Khidmat Malaysia sentiasa komited dan peka terhadap keperluan masyarakat yang terjejas akibat bencana serta kekal berada di barisan hadapan dalam menyantuni mangsa.
“Khidmat Malaysia dan seluruh pasukan sukarelawan terus bekerja tanpa mengenal waktu dengan satu semangat dan tujuan (iaitu) beramal kerana Allah,” katanya.
Terdahulu media tempatan melaporkan ribut kuat dan puting beliung itu menyebabkan 40 rumah, lima sekolah serta beberapa kemudahan awam rosak.
Seramai 11 murid cedera ringan, selain dua orang dewasa turut mengalami kecederaan dan dirawat di hospital. – HARAKAHDAILY 17/10/2025






















