Deepavali: Kerajaan Kedah santuni masyarakat India

- Advertisement -

PADANG SERAI: Menjelang sambutan perayaan Deepavali tidak lama lagi, masyarakat India disantuni di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi meringankan beban mereka membuat persiapan.

- Advertisement -

​Di DUN Merbau Pulas, seramai 200 keluarga komuniti India menerima sumbangan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali di Taman Mutiara di sini, kelmarin.

​Menurut beliau, program tersebut sebahagian dari tanggungjawab Kerajaan Negeri terhadap keperluan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

​”Inisiatif ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kesejahteraan rakyat berbilang kaum, khususnya dalam memastikan setiap keluarga dapat meraikan perayaan cahaya ini dengan gembira dan selesa,” katanya.

​Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, majlis penyampaian bantuan itu bukan sekadar satu aktiviti penyerahan sumbangan, tetapi ia menjadi lambang keakraban dan hubungan erat antara kerajaan dengan rakyatnya.

​”Melihat senyuman dan wajah gembira para penerima, terutamanya daripada golongan yang kurang berkemampuan, memberikan satu rasa terharu yang mendalam,” ujar beliau.

Ustazah Siti Ashah juga berharap agar usaha murni Kerajaan Negeri ini menjadi inspirasi kepada semua pihak, sama ada agensi kerajaan, badan korporat, mahupun individu, untuk terus menyumbang kepada golongan yang memerlukan.

​Beliau yakin perpaduan kaum di Kedah akan terus kukuh dan mekar apabila semangat saling menghormati serta bantu-membantu sentiasa diamalkan.

​Di MERBOK, satu Program Hi Tea dan Penyampaian Hamper Deepavali turut diadakan bagi meraikan masyarakat India setempat bagi DUN Bukit Selambau pada Isnin, 13 Oktober.

​Program anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bukit Selambau dengan kerjasama Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) Zon 5, Pallani Subramaniam itu berlangsung meriah di Dewan Kuil Sri Subramaniam Devastanam, Taman Bandar Baru Sungai Lalang.

​ADUN Bukit Selambau, Ustaz Azizan Hamzah hadir menyampaikan hamper Deepavali kepada 200 penerima bersama Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India dan Siam dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wong Chia Zhen. – HARAKAHDAILY 16/10/2025

- Advertisement -