
ALOR SETAR: Pulau Langkawi sekali lagi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Pulau Kedua Terbaik di Asia dalam anugerah ‘Top Islands: Reader’s Choice Awards 2025’ oleh portal pelancongan berprestij, Conde Nast Traveler.
Dengan kutipan markah 92.99, Langkawi berjaya mengatasi beberapa destinasi pelancongan tersohor dunia termasuk Bali, Indonesia yang berada di kedudukan keenam (89.84) dan Phuket, Thailand di tempat kesembilan (84.62).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin menyifatkan pengiktirafan itu sebagai bukti hasil kerja keras dan dedikasi seluruh komuniti di pulau peranginan tersebut.
“Kejayaan menduduki tempat kedua dalam senarai itu sesungguhnya bukan sekadar angka, tetapi pengiktirafan kepada kerja keras, semangat, dan dedikasi seluruh komuniti Langkawi,” katanya.
Anugerah pulau terbaik Asia itu dimenangi oleh Pulau Phu Quoc dari Vietnam yang memperoleh markah 95.51.
Mohd Salleh turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, daripada penggiat industri pelancongan, pengusaha hotel, agensi kerajaan sehinggalah kepada peniaga kecil yang tidak pernah jemu berusaha untuk kemajuan Langkawi.
“Syabas kepada semua yang telah menjadikan Langkawi bukan sekadar sebuah pulau, tetapi satu jenama pelancongan bertaraf antarabangsa yang membanggakan Negeri Kedah dan Malaysia seluruhnya,” ujarnya.
Tambah beliau, pengiktirafan tersebut diharap akan menjadi isyarat bahawa Langkawi akan terus bersinar dan menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke negeri Jelapang Padi itu.
“Semoga pengiktirafan antara pulau terbaik di Asia ini menjadi satu lagi isyarat awal bahawa Langkawi akan terus bersinar sebagai permata pelancongan yang tiada bandingan, mencipta lebih banyak kejayaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/10/2025





















