200,000 benih udang galah dilepas ke Sungai Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Dalam usaha berterusan untuk melestarikan sumber perikanan darat, Kerajaan Negeri Kedah telah melepaskan sebanyak 200,000 ekor benih udang galah ke dalam perairan umum Sungai Kedah, semalam.

- Advertisement -

​Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertanian, Industri Asas Tani dan Agromakanan Negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, ia sebagai langkah nyata kerajaan negeri untuk memperkukuh ekosistem akuatik tempatan.

​Menurutnya, program anjuran Jabatan Perikanan Negeri Kedah itu bukan sekadar satu acara simbolik tetapi merupakan komitmen kerajaan bagi memastikan sektor makanan negara kekal mampan dan berdaya saing.

​“Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan populasi udang galah dan ikan asli di perairan umum, tetapi juga bagi menambah baik sumber rezeki komuniti nelayan darat serta mewujudkan ekosistem sungai yang lebih seimbang dan produktif,” katanya.

​Jelas beliau, inisiatif itu melibatkan sejumlah 1,662,000 ekor benih pelbagai spesis termasuk udang galah, ikan lampam, baung dan terbul juga dilepaskan di sungai-sungai terpilih seluruh Kedah sepanjang tahun ini.

​Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat setempat, khususnya nelayan darat dan pemancing, agar bersama-sama menjaga kebersihan sungai dan mengamalkan kaedah penangkapan yang berhemah.

​“Elakkan penggunaan bahan terlarang seperti racun, tuba, atau kejutan elektrik yang boleh memusnahkan kehidupan akuatik. Jika kita menjaga sungai hari ini, kita sebenarnya sedang menjaga masa depan anak-anak kita,” katanya lagi.

​Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris.​- HARAKAHDAILY 16/10/2025

- Advertisement -