
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyatakan sokongan penuh terhadap ucapan perbahasan Belanjawan 2026 oleh Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
Ucapan itu disifatkan sebagai satu khutbah tamadun Islam menyeru Malaysia kembali kepada asas takwa, amanah, keadilan dan keberkatan sebagai tonggak kemakmuran negara.
Ketua Penerangan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata, ucapan Presiden PAS bukan sekadar ulasan politik atau ekonomi, tetapi pandangan Rabbani yang menilai dasar pemerintahan berasaskan al-Quran dan Sunnah.
Beliau menegaskan bahawa kemakmuran sebenar tidak lahir daripada angka bajet atau pinjaman asing, tetapi daripada iman dan takwa kepada Allah
“Ucapan Tuan Guru adalah seruan agar negara kembali kepada asas keimanan dan nilai Rabbani. Beliau mengingatkan bahawa kemakmuran sejati terletak pada keberkatan yang membawa keamanan, kestabilan dan rahmat Ilahi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dewan Ulamak PAS turut menyambut penegasan Presiden PAS bahawa kepimpinan beramanah adalah asas keutuhan negara di mana Rasulullah SAW telah memberi amaran bahawa apabila amanah disia-siakan, maka kehancuran akan tiba.
Ini, jelas Dewan Ulamak PAS Pusat, merupakan mesej penting agar pemerintah menjauhi rasuah, sogokan dan politik kronisme yang boleh merosakkan agama dan negara.
Mohd Nor turut memetik pandangan Imam al-Mawardi yang menyatakan bahawa pemimpin amanah akan memelihara agama dan dunia rakyatnya, manakala pemimpin khianat akan merosakkan kedua-duanya.
Oleh itu tegasnya, kepimpinan yang bersih dan berprinsip amat penting bagi memastikan negara kekal berkat dan stabil.
Dalam masa yang sama, beliau menyokong seruan Tuan Guru agar negara meninggalkan sistem ekonomi berasaskan riba dan beralih kepada ekonomi halal serta berkat.
Menurutnya, sistem kewangan yang bergantung kepada riba hanya mengundang kemurkaan Allah dan merosakkan keadilan sosial.
Jelasnya, Allah SWT telah berfirman bahawa mereka yang masih beramal dengan riba akan berhadapan dengan perang daripada Allah dan Rasul-Nya.
Dewan Ulamak PAS juga katanya, menyambut baik penegasan Presiden PAS bahawa sistem percukaian negara mesti dilaksanakan dengan adil.
“Islam hanya mengenakan cukai kepada golongan yang mampu, bukan menekan rakyat miskin. Sabda Rasulullah SAW bahawa pemungut cukai zalim tidak akan masuk syurga menjadi peringatan agar dasar kewangan negara tidak menindas rakyat bawahan,” ujarnya.
Selain itu, Dewan Ulamak PAS turut menyokong ketegasan Presiden PAS yang menolak kehadiran bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, ke Malaysia.
Individu yang menyokong kezaliman Zionis dan penindasan terhadap umat Islam di Gaza tidak wajar diberi ruang di bumi Islam. Firman Allah dalam Surah Hud ayat 113 mengingatkan agar umat Islam tidak cenderung kepada golongan zalim, kerana ia akan membawa kepada azab neraka.
“Menjemput musuh umat Islam ke tanah air adalah satu penghinaan terhadap maruah Islam dan Palestin,” tegas beliau terhadap pendirian sayap agamawan parti itu.
Menurut Mohd Nor, ucapan Tuan Guru Abdul Hadi membawa mesej besar agar negara kembali kepada sistem pentadbiran berasaskan syariat dan tadbir Rabbani yang menegakkan prinsip keadilan, keseimbangan dan ihsan.
Katanya, gagasan “Negara Bertaqwa Membawa Berkat” yang dikemukakan oleh Presiden PAS merupakan rangka besar pembinaan Negara Rahmah berpaksikan Islam dalam segala aspek, perundangan, ekonomi dan akhlak kepimpinan.
“Ucapan Tuan Guru bukan sekadar pandangan politik, tetapi dokumen pemikiran Islam moden yang menyatukan politik, akidah dan moral kenegaraan,” katanya.
Dewan Ulamak PAS katanya, menyeru seluruh umat Islam, khususnya para pemimpin negara, agar menjadikan gagasan tersebut sebagai asas kepada pembentukan polisi nasional, reformasi ekonomi dan pembangunan insan yang berpaksikan nilai taqwa, amanah dan keadilan.
“Hanya dengan taqwa, amanah dan keadilan, negara akan beroleh barakah dan rahmat Allah,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 16/10/2025



















