
KUALA LUMPUR: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menggesa kerajaan supaya tidak menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia sambil menyifatkan tokoh itu sebagai syaitan besar yang tidak wajar diberi kebenaran memasuki negara ini.
Presiden PAS itu berkata, pihaknya akan mengerahkan rakyat untuk membantah sekeras-kerasnya lawatan Trump ke Malaysia khususnya ke Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur hujung bulan ini.
“Saya anggap tokoh ini sebagai syaitan besar yang nak menipu. Apatah lagi dia mendukung sebuah kerajaan yang dilaknat oleh Allah SWT. Dalam hadis nabawiyah disebut bahawa ketika Nabi Muhammad SAW melalui kawasan Mada’in Saleh tempat kaum Tsamud yang dilaknat Allah, baginda melarang para Sahabat RA singgah di situ.
“Apabila sahabat mengambil air dari telaga kawasan itu, Nabi menyuruh mereka mencurahkannya kembali dan tidak meminumnya kerana ia dari negeri yang dilaknat Allah. Sekarang kita pula hendak menjemput tokoh seperti ini masuk ke negeri kita.
“Oleh sebab itu saya akan menegaskan bahawa kami akan mengerahkan rakyat untuk memprotes dengan sekeras-kerasnya terhadap lawatan ini,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Guru berkata, tindakan menjemput Trump adalah tidak wajar memandangkan beliau sebelum ini secara terbuka menyatakan sokongan kepada Israel termasuk dalam aspek ketenteraan, selain berpura-pura menjadi pendamai di Asia Barat.
“Ucapan beliau secara terang-terangan menunjukkan sokongan padu terhadap Israel. Trump menyatakan kesediaan untuk memberi apa sahaja yang diminta Israel, termasuk bantuan senjata, agar negara itu dapat meneruskan usaha peperangannya. Beliau sanggup jatuh dan bangun bersama Israel.
“Dalam masa yang sama, beliau berpura-pura menjadi pendamai apabila pergi ke Mesir untuk menandatangani perjanjian damai. Namun, damai itu hanyalah sandiwara kerana ia memaksa Hamas dan kumpulannya melucutkan senjata,” katanya.
Bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu berkata, perjanjian tersebut turut mencadangkan supaya Gaza ditadbir oleh kuasa Barat dan bukan oleh rakyat Palestin sendiri.
“Ini satu pendekatan yang sangat jahat dan HAMAS menolaknya kerana mereka telah mencapai kemenangan moral yang besar. Akhirnya, Trump terpaksa tunduk kepada desakan HAMAS yang enggan meletakkan senjata.
“Manakala pentadbiran Gaza dicadangkan di bawah teknokrat, rakyat Palestin, bukan semestinya anggota HAMAS. Saya mengharapkan supaya kerajaan kita menyediakan peruntukan yang sewajarnya untuk bantu balik bersama dengan orang Islam,” katanya.
Tuan Guru dalam ucapan perbahasannya itu turut menyampaikan pantun menegur keadaan ekonomi negara.
“Memang bajet mudah dibentang,
Cerita duit memang banyak,
Nanti negara rebah terlentang,
Kerana dibeban hutang yang banyak.” – HARAKAHDAILY 15/10/2025



















