
KUALA LUMPUR: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN–Marang) menyelar sikap pilih kasih pihak berwajib dalam mengambil tindakan terhadap kes rasuah yang mana hanya pesalah kecil menjadi mangsa, sedangkan individu berpengaruh melakukan kesalahan jauh lebih besar dilepaskan begitu sahaja.
Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan keadilan dalam sistem pentadbiran negara masih pincang dan tidak berpaksikan nilai Islam yang menolak sebarang bentuk kezaliman.
“Hari ini makin banyak sogok, makin banyak projek. Makin besar sogokannya, makin besar peluang yang diberikan. Yang kecil-kecil, ikan bilis ditangkap, tetapi yang besar-besar dibebaskan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menurut Tuan Guru, sikap tidak adil dan pilih kasih dalam penguatkuasaan undang-undang menjadikan usaha membasmi rasuah gagal mencapai matlamat sebenar.
Beliau berkata, al-Quran telah memberi panduan jelas melalui kisah Nabi Sulaiman AS yang menolak sogokan daripada Maharani Balqis, sekali gus menjadi teladan kepada pemimpin Islam untuk menegakkan keadilan tanpa kompromi.
“Nabi Sulaiman menolak hadiah mahal yang dihantar oleh Maharani Balqis kepadanya dan menegaskan bahawa kekayaan yang dikurniakan Allah jauh lebih baik. Baginda bukan sahaja menolak sogokan itu, malah bertindak tegas terhadap cubaan rasuah,” katanya.
Presiden PAS itu turut menegur amalan mengenakan cukai yang menekan rakyat berpendapatan rendah sebagai bentuk kezaliman ekonomi yang bertentangan dengan prinsip kebajikan dalam Islam.
“Zulkarnain AS menjadi contoh kepada pemerintahan berteraskan kebajikan. Ketika baginda tiba di sebuah negeri di Asia Tengah yang berdepan ancaman musuh, penduduk negeri itu memohon bantuan untuk membina benteng pertahanan.
“Penduduk bertanya, ‘Wahai Zulkarnain, bolehkah kami membayar cukai kepada tuanku sebagai balasan, tuanku boleh bantu kami membina kota yang dapat menghalang serangan musuh yang ganas itu?’
“Baginda menjawab dengan penuh hikmah, ‘Apa yang diberikan Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang kamu ingin berikan. Aku tidak perlu cukai daripada kamu. Cuma bawakan tenaga kerja dan ketulan besi supaya aku dapat membina kota itu untuk kamu’.
“Dalam dunia hari ini yang gilakan kekayaan, cukai terus dikenakan tanpa belas kasihan. Kadang-kadang cukai yang zalim dikenakan kepada rakyat yang tidak sepatutnya, hingga golongan miskin turut menanggung beban.
“Ini merupakan perkara negatif yang berlaku. Insya-Allah kami daripada Perikatan Nasional akan berusaha untuk membuat perubahan dalam kepimpinan negara,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, PN komited memperkenalkan sistem kepimpinan yang bersih dan berintegriti melalui proses penilaian calon yang ketat sejak sebelum bertanding.
“Dalam PAS, calon dinilai berdasarkan ilmu, akhlak, perangai dan integriti. Jika ada salah laku, walaupun bukan terhadap parti, tetap dikenakan tindakan. Walaupun kita kurang kerusi. Ini usaha yang kita boleh lakukan dan kita cuba buat untuk membuat perubahan dalam negara ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Tuan Guru mengingatkan bahawa kezaliman dan salah guna kuasa merupakan punca utama kejatuhan kerajaan besar dalam sejarah dunia, termasuk Rom, Parsi dan Jepun.
“Apabila pangkat dan jawatan diberi bukan kepada yang layak, tetapi kepada kroni dan kepentingan politik, bukan berdasarkan kepada kebolehan dan pengalaman dia. Ini berlaku dan sebab itulah kita jadi celaru dalam pemerintahan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2025











