Kelantan perkukuh siap siaga hadapi Monsun Timur Laut

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan menambah jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kepada 468 buah dengan kapasiti 199,970 orang bagi menghadapi Monsun Timur Laut 2025/2026 yang dijangka bermula November ini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita, Dato’ Rohani Ibrahim berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding 459 PPS pada tahun lepas dengan penambahan sembilan PPS baharu di seluruh negeri.

Beliau berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menambah kemudahan stor bencana daripada 17 kepada 19 buah serta meningkatkan jumlah pangkalan hadapan daripada 160 kepada 180 bagi memastikan kelancaran pengurusan bencana di peringkat jajahan.

“Pihak kerajaan telah mengenal pasti lokasi berisiko dan memperkemas segala aspek kesiapsiagaan. Semua agensi, terutama di peringkat DUN, perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika merasmikan Taklimat Penyelarasan dan Kesiapsiagaan Kebajikan Menghadapi Monsun Timur Laut 2025/2026 di sini semalam.

Beliau berkata, tahun ini penyediaan makanan di PPS akan diteruskan secara gotong-royong dengan penambahbaikan SOP supaya lebih tersusun dan cekap.

“JKM juga telah memperkenalkan Sistem Info Bencana JKM 4.0 bagi memudahkan urusan pendaftaran dan pengurusan mangsa bencana. Saya berharap semua penggerak di setiap DUN membantu rakyat mendaftar dalam sistem ini,” katanya.

Rohani berkata, semua DUN diminta mengambil langkah awal bagi memastikan tiada aliran air tersumbat serta memastikan kesiapsiagaan menyeluruh, termasuk di kawasan yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir.

“Berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sebanyak 618 lokasi di 10 jajahan dikenal pasti sebagai kawasan ‘hotspot’ berisiko banjir,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas.

Beliau turut menyeru wujudnya kerjasama antara semua DUN jika berlaku bencana bagi memudahkan bantuan segera disalurkan tanpa mengira sempadan kawasan.

“Sebagaimana peribahasa, cubit paha kanan paha kiri terasa sakitnya jua. Jika berlaku bencana di mana-mana lokasi, saya harap semua DUN dapat saling membantu antara satu sama lain,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan terus mengadakan sesi pertemuan berkala dengan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bencana bagi memperkukuh jaringan bantuan di lapangan.

“Kita mahu rakyat dilatih untuk bertindak bijak dan saling membantu dalam komuniti masing-masing sebelum bantuan rasmi tiba, khususnya di kawasan pedalaman,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Unit Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KEKWA), Ilvira Mohd Dasuki berkata, taklimat tersebut merupakan pelan tindakan bagi memastikan setiap agensi dan sukarelawan mengetahui peranan masing-masing semasa bencana.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penglibatan badan korporat dan NGO dalam memperkukuh pengurusan kebajikan serta bencana agar bantuan dapat disalurkan secara strategik dan sampai kepada yang benar-benar memerlukan.

“Dalam bencana, masa dan maklumat adalah nyawa. Penyelarasan inilah kunci untuk menyelamatkan lebih ramai rakyat kita,” katanya.

Beliau berkata, tahun ini latihan profesional dan kursus kemanusiaan ditambah termasuk Kursus Pertolongan Cemas bersama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) bagi melahirkan sukarelawan bertauliah yang mempunyai sijil sah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

“Ketika air naik dan jalan mula terputus, mungkin ada keluarga berlapar, anak kecil kesejukan dan warga emas keseorangan. Saat itulah kehadiran kita menjadi sinar harapan membawa kasih dan semangat Allah kepada mereka yang diuji,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/10/2025

- Advertisement -