Sekolah era Madani ‘macam-macam ada’ – Razman

Pesta arak hinggalah kes tragik kematian, rogol dan bunuh

- Advertisement -

IPOH: Penganjur program alumni di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Michael, di sini digesa untuk segera tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan majlis turut menghidangkan minuman keras di dalam kawasan sekolah.

- Advertisement -

​Razman Zakaria berkata, tindakan penganjur itu bukan sahaja melanggar peraturan sedia ada, tetapi juga tidak sensitif terhadap norma masyarakat serta mencemarkan imej institusi pendidikan sebagai pusat ilmu dan pembentukan akhlak.

​Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu menzahirkan rasa amat kecewa dan mengecam peristiwa yang berlaku pada malam 27 September lalu itu, yang dilaporkan melibatkan 800 alumni.

​“Pihak penganjur digesa untuk memohon maaf dan memastikan peristiwa ini tidak berulang kembali apabila majlis alumni ini diadakan semula nanti.

​“Pihak penganjur perlu memastikan sebarang penganjuran program khususnya di kawasan sekolah mengambil kira pematuhan undang-undang dan sensitiviti agama, budaya dan norma kemasyarakatan,” katanya.

​Menurut Razman, insiden tersebut secara jelas bertentangan dengan Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018 oleh Kementerian Pendidikan (KPM) yang melarang sekolah menerima sumbangan atau tajaan melibatkan hasil daripada aktiviti perjudian, rokok dan minuman keras.

​Katanya, ini menunjukkan kelemahan dalam aspek tatakelola dan pemantauan oleh pihak kerajaan yang gagal memastikan dasar yang telah diputuskan dilaksanakan dengan konsisten.

​Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kelulusan yang diberikan oleh pihak pentadbiran sekolah, yang sepatutnya lebih bertanggungjawab dan teliti sebelum membenarkan sebarang aktiviti di premis pendidikan.

​Sehubungan itu, Razman mendesak KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak untuk segera menjalankan siasatan menyeluruh terhadap penganjuran majlis tersebut.

​“Saya dengan ini menggesa pihak kerajaan melalui KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak untuk mendapatkan pemakluman tunjuk sebab daripada pihak pentadbiran sekolah yang telah memberikan kebenaran penganjuran majlis tersebut,” katanya lagi.

​Bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang, Razman turut mendesak kerajaan untuk lebih serius dengan memperkasakan dasar nasional yang melarang sepenuhnya program melibatkan alkohol dalam premis institusi pendidikan.

​Beliau menambah, semua kontrak atau perjanjian penyewaan premis sekolah mesti menyertakan klausa tegas yang melarang penganjur membawa atau menghidangkan minuman keras, rokok, atau bahan terlarang, di mana pelanggaran boleh menjurus kepada pembatalan kontrak dan tindakan undang-undang.

​Selain itu, beliau mencadangkan agar pihak kementerian dan kerajaan negeri menubuhkan pasukan audit dan penguatkuasa khas bagi memantau aktiviti di sekolah, di samping menggerakkan kempen kesedaran bersama agar semua pihak faham bahawa sekolah adalah medan pembinaan akhlak, bukan tempat promosi alkohol.

​“Saya menyeru Kementerian Pendidikan, pihak sekolah dan kerajaan negeri agar menyokong dasar larangan ini dengan lebih tegas, meminda garis panduan penyewaan, serta mengambil tindakan serius terhadap penganjur dan pentadbiran yang telah menyalahgunakan premis sekolah.

“Kerajaan Madani nak jadikan sekolah ni untuk melahirkan generasi bagaimana? Bunuh ada, rogol ada, minum arak pun ada? Sekolah sebagai institusi pendidikan di era Madani ni macam-macam ada,” bidasnya. – HARAKAHDAILY 15/10/2025

- Advertisement -