
MARANG: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memutuskan untuk mengambil alih pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat PN serta mesyuarat parti dalam masa terdekat.
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata mesyuarat PN masih mempunyai anggota kerana bukan semua pimpinan meletakkan jawatan.
“Kita dah buat keputusan akan ambil alih PN. PAS akan ambil alih pimpinan PN dan kita akan bincang dalam mesyuarat.
“Mesyuarat PN masih ada anggota dia. Bukan semua letak jawatan dan kita bincang dalam PAS juga,” ujarnya dalam sidang media selepas Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.
Mengulas mengenai masa mesyuarat PN, Tuan Guru berkata ia akan diadakan berkemungkinan pada minggu hadapan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata perkara berkaitan calon Pengerusi PN juga akan dibincangkan dalam mesyuarat.
“Itu kita akan bincang,” katanya sambil memaklumkan calon Pengerusi PN daripada PAS.
Mengulas berkenaan pencalonan dirinya sebagai Pengerusi PN, Tuan Guru berkata walaupun berada dalam keadaan uzur, perbincangan akan tetap dibuat dalam parti.
“Memang saya ni orang kata dalam keadaan keuzuranlah tapi kita bincanglah dalam dalam parti dan ada orang, ada orang banyak, dalam PAS banyak. Kalangan ahli politik ada, kalangan teknokrat ada,” jelasnya.
Apabila ditanya berkenaan hubungan dengan parti lain, beliau berkata hubungan PAS masih baik termasuk BERSATU dan juga Umno.
“Insya-Allah. Kita nak satukan orang Melayu, orang Islam dan nak satukan orang bukan Islam yang tidak ekstrem. Itu agenda kita,” katanya.
Mengulas tindakan terhadap wakil rakyat PAS di Perlis, beliau berkata tindakan telah diambil.
“Itu dah diambil tindakan. Dah dipecat daripada parti dan daripada wakil rakyat pun,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan perlembagaan negeri, apabila seseorang wakil rakyat dilucutkan keahlian parti, Speaker mempunyai kuasa untuk menggugurkan keahlian Dewan.
“Mengikut perlembagaan negeri, bila lucut daripada keahlian parti, Speaker boleh gugurkan dia daripada Ahli Dewan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/1/2026




















