Tak tamak kuasa, pimpinan berintegriti, berjiwa besar

Hassanuddin Salim.
- Advertisement -

KUANTAN: Sikap tidak tamak kuasa amat jarang dalam politik Malaysia dan perlu dipuji sebagai contoh kepimpinan berintegriti, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, Hassanuddin Salim.


Beliau merujuk pendirian PAS tidak menganggotai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) walaupun kekal dalam Kerajaan Negeri Perlis dan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- Advertisement -

Menurut beliau, tindakan di Perlis tersebut termasuk melepaskan semua jawatan pentadbiran negeri, namun kekal dalam kerajaan negeri jelas mencerminkan kematangan politik PAS.

Malah katanya, ia menunjukkan PAS mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kedudukan peribadi dan bukti sebagai komitmen menjaga mandat rakyat yang diberi dari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, pendirian PAS itu juga memperlihatkan ketegasan dalam mempertahankan integriti serta prinsip perjuangan parti, selain menjadi manifestasi pengorbanan demi mengekalkan kesatuan dan keutuhan Perikatan Nasional (PN).

“Sikap tidak tamak kuasa ini amat jarang dalam politik Malaysia dan perlu dipuji sebagai contoh kepimpinan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

PAS Pahang turut merakamkan penghargaan kepada Muhyiddin atas keputusan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN yang disifatkan sebagai langkah berjiwa besar demi kepentingan gabungan secara keseluruhan.

“Tindakan ini tanda kepimpinan berjiwa besar yang mengutamakan kesejahteraan gabungan berbanding ego peribadi,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Kuala Semantan.

Menurut beliau lagi, PAS Pahang komited memperkukuhkan kesatuan ummah di negeri itu menerusi pelantikan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Ketua PN Pahang.

“Di bawah kepimpinan beliau, PN Pahang akan terus kukuh dan berkesan memperjuang rakyat. Pelantikan ini cerminan persefahaman dan kepercayaan antara komponen PN kesatuan ummah bukan slogan tetapi tindakan nyata,” katanya.

Tambah beliau, PAS Pahang akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan politik yang berorientasikan khidmat kepada rakyat serta pembangunan negara.

“Politik yang kami perjuangkan bukan untuk kuasa sempit, tetapi memberi khidmat kepada rakyat dan memacu kemajuan negara. Kami berpegang pada prinsip buang yang keruh, ambil yang jernih.

“Kesatuan Melayu Islam adalah keutamaan, dan kami tidak berkompromi dengan pihak yang cuba memecah perpaduan ummah. PAS Pahang akan memastikan PN negeri ini kekal sebagai benteng perpaduan ummah yang teguh,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/1/2026

- Advertisement -