
KOTA BHARU: Ketibaan Tahun Baru 2026 di Kelantan disambut dengan pelbagai aktiviti kerohanian dan keagamaan yang amat sinonim dengan sebuah negeri yang dikenali dengan gelaran Serambi Makkah itu.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri mempunyai cara sendiri mengadakan sambutan ambang tahun baru selaras dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).
Beliau berkata, bagi menempuh 2026 dengan keberkatan, pihaknya menganjurkan majlis ilmu, solat hajat dan munajat secara beramai-ramai sambil diiringi dengan selawat keatas junjungan besar Nabi Muhammad.
“Kita menutup tirai 2025 dengan rasa syukur atas segala nikmat yang dikurniakan, ada hadis menyebut, sebahagian dari tanda baiknya keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.
“Ini sebagai satu keazaman menjadi insan yang lebih baik dari segenap aspek kehidupan,” katanya pada program Anak Muda Berselawat sempena Sambutan Ambang Tahun Baru 2026 di Dataran Warisan di sini malam kelmarin.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Exco Belia, Sukan, NGO Dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad dan Ketua Polis Negeri Kelantan, Dato’ Yusoff Mamat.

Ribuan anak muda membanjiri lokasi tersebut bagi mendengar sendiri tausiah yang disampaikan oleh pendakwah, Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid mengenai langkah-langkah bagi pembinaan jiwa Islami dalam golongan itu.
Selain itu Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang pula memimpin solat hajat bersama pimpinan kerajaan negeri, guru pondok dan pelajar institusi itu memohon kesejahteraan pada tahun 2026.
Acara anjuran Urus Setia Belia dan Sukan (UBES) Kelantan itu mengekalkan pendekatan sederhanaan dan tidak keterlaluan, selain menjadikan majlis tersebut sebagai salah satu alternatif sambutan hiburan melampau.
Menerusi usaha itu katanya, Kelantan terus memperkukuhkan identitinya sebagai negeri yang mengamalkan gaya pentadbiran dan pemerintahan Islamik dengan memulakan kalendar 2026 dengan semangat agama tinggi. – HARAKAHDAILY 2/1/2026











