
ARAU: Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis, Tuan Guru Ahmad Ali menegaskan pendiriannya berhubung beberapa perkara yang diperkatakan mutakhir ini khususnya melibatkan kenyataan peribadi yang bercanggah dengan pendirian parti.
Dalam satu kenyataan, beliau mengingatkan bahawa sebelum ini beliau telah mengarahkan semua ahli PAS, terutamanya di peringkat pimpinan supaya tidak membuat sebarang kenyataan sendiri tanpa merujuk terlebih dahulu kepadanya atau kepada Pejabat Agung PAS (PAS Pusat).
“Malangnya, terdapat kenyataan yang dibuat tanpa mengikut arahan tersebut, umpama seperti yang disampaikan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri, Ustaz Ahmad Adnan Fadzil.
“Kenyataan itu adalah di luar pengetahuan saya dan tidak dirujuk kepada saya. Saya menganggap perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” jelasnya yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS.
Mengulas tuduhan kononnya pimpinan PAS Pusat menyembunyikan fakta sehingga keputusan yang dibuat oleh Tuan Guru Presiden PAS adalah tidak betul, Tuan Guru Ahmad Ali menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu kenyataan berniat jahat.
“Ada pihak yang mengatakan pimpinan PAS Pusat menyembunyikan fakta-fakta. Ini adalah tuduhan yang serius. Kita menaruh kepercayaan kepada pimpinan kita. Saya yakin dan percaya bahawa tuduhan-tuduhan seperti itu memerlukan asas dan dalil yang benar, namun setakat ini tiada hujah yang benar dikemukakan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan perbezaan antara tidak bersetuju dengan pandangan pimpinan dan hilang kepercayaan terhadap pimpinan.
“Kita boleh tidak bersetuju dengan pandangan-pandangan pimpinan tetapi jangan sampai ke peringkat hilang kepercayaan. Ada beza antara tidak bersetuju dengan hilang kepercayaan, kerana syarat dalam Islam ialah pimpinan itu mestilah diletakkan kepercayaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua ahli PAS di semua peringkat agar bertenang dan merujuk sepenuhnya kepada keputusan yang telah dibuat oleh PAS Pusat dalam menghadapi situasi semasa.
“Saya tegaskan sekali lagi, sebagai ahli PAS, berikan kepercayaan (tsiqah) kepada kepimpinan kita dan serahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk menangani permasalahan yang berlaku,” katanya lagi.
Sebelum ini Tuan Guru Ahmad Ali berkata, beliau mengarahkan semua ahli-ahli PAS terutama pimpinan PAS di Perlis agar tidak membuat kenyataan mengikut pandangan sendiri bagi mengelakkan kekeliruan yang boleh mengeruhkan keadaan.
“Saya nak sampaikan kepada semua ahli PAS terutama pimpinan PAS Negeri supaya tidak membuat kenyataan-kenyataan peribadi berkaitan krisis yang sedang berlaku ini melainkan merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS Pusat,” katanya.
Tuan Guru Ahmad juga menasihati semua ahli dan pimpinan PAS negeri supaya bertenang dan fokus kepada tugas dan amanah yang telah diberikan. – HARAKAHDAILY 2/1/2026











