
KUALA LUMPUR: Peningkatan kes buli dalam kalangan pelajar mendedahkan keperluan mendesak untuk merombak secara menyeluruh sistem pendidikan negara, tegas Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin.
Beliau mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Negara bagi menilai semula keseluruhan kerangka dan falsafah pendidikan negara, termasuk isu kemerosotan kemenjadian murid walaupun Kementerian Pendidikan menerima antara peruntukan terbesar setiap tahun.
“Kementerian Pendidikan (KPM) setiap tahun mendapat bajet paling besar. Persoalannya, kenapa kemenjadian murid semakin berkurangan?” soalnya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Menurut beliau, antara faktor utama perlu diteliti ialah hakisan nilai akhlak, nilai ketimuran serta budaya masyarakat Malaysia dalam kalangan generasi muda, yang akhirnya menyumbang kepada gejala buli melampau.
Beliau turut mengaitkan perkara itu dengan insiden serbuan ke atas kelab lelaki maskulin di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Mereka ini telah melalui sistem pendidikan negara sejak awal. Persoalannya, adakah ini produk sistem pendidikan kita?” katanya.
Di peringkat Parlimen katanya, perbahasan Rang Undang-Undang Anti Buli sekurang-kurangnya menyediakan satu rujukan perundangan kepada semua pihak bagi mengurangkan kes buli, namun langkah itu sahaja tidak mencukupi.
Khairil Nizam turut berkongsi pengalaman bertemu seorang guru besar di Jerantut ketika melawat pusat pemindahan sementara (PPS) semasa bencana banjir, yang menyatakan bahawa fokus murid semakin berkurangan berikutan pengurangan peperiksaan awam.
“Kini hanya ada satu peperiksaan besar iaitu SPM. Dulu ada UPSR dan PMR. Guru lebih cenderung mengadakan kelas tambahan dan ada lebih banyak interaksi dengan murid,” katanya.
Interaksi tersebut, menurut beliau, penting kerana guru bukan sekadar pendidik akademik, malah menjadi tempat murid berkongsi perasaan dan masalah.
Beliau juga menekankan tekanan kos sara hidup yang memaksa ibu bapa bekerja dalam tempoh panjang, sekali gus mengurangkan masa dan perhatian terhadap anak-anak.
“Keluar rumah pagi, balik malam. Penat. Di sinilah kurangnya perhatian dan kasih sayang,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa menyalahkan atau memecat Menteri Pendidikan semata-mata bukan penyelesaian sebenar.
“Kalau sistem sama, tukar menteri pun hasilnya tetap sama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Negara yang akan menghasilkan kertas putih untuk dibahaskan secara tuntas di Parlimen dan dilaksanakan secara menyeluruh.
“Bukan hanya cantik di atas kertas, tetapi benar-benar dilaksanakan,” tegasnya.
Kes Zara Qairina
Khairil Nizam turut menyangkal bahawa kerajaan dan pembangkang mendiamkan isu buli melibatkan kes Zara Qairina di Sabah sebagai dakwaan tidak tepat dan bersifat sentimen.
Menurut beliau, Parlimen telah pun mengambil langkah awal apabila Rang Undang-Undang Anti Buli dibentangkan dan dibahaskan oleh kedua-dua pihak kerajaan serta pembangkang.
“Alhamdulillah Rang Undang-Undang Anti Buli telah dibentangkan dan ramai Ahli Parlimen ingin berbahas. Saya sendiri tidak berpeluang untuk berbahas,” katanya ketika menjawab soalan Harakah.
Beliau menegaskan bahawa kes buli berkenaan kini sedang melalui proses inkues di Sabah dan semua pihak wajar memberi ruang kepada siasatan tersebut berjalan tanpa campur tangan sentimen.
“Kenapa kita mahu menokok tambah perkara yang kita tidak nampak? Isu ini perlu bergantung kepada fakta dan angka, bukan sentimen,” katanya.
Menurut beliau, kecenderungan mempolitikkan isu buli hanya akan menghalang usaha negara untuk bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara membangun dan maju.
“Kalau kita menganggap semua perkara ini berkait dengan politik semata-mata, kita tidak akan keluar daripada kitaran yang sama,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Khairil Nizam menegaskan isu buli tidak boleh ditangani melalui pendekatan segera atau bersifat teknikal semata-mata seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV).
“CCTV ini ‘quick fix’. Kita boleh labur sedikit untuk beli kamera, tetapi itu bukan penyelesaian sebenar,” katanya.
Sebaliknya, beliau menekankan keperluan pendekatan ‘whole of nation’ yang melibatkan semua pihak, bukan hanya sekolah, warden atau guru semata-mata. – HARAKAHDAILY 2/1/2026











