
KUALA LUMPUR: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menzahirkan kebimbangan terhadap kebergantungan Malaysia kepada institusi kewangan antarabangsa seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang disifatkannya sebagai ‘bapa riba dunia’.
Beliau berkata, selagi negara terus bergantung kepada sumber kewangan berasaskan hutang dan riba, ekonomi Malaysia tidak akan mencapai keberkatan serta akan kekal terikat dengan sistem kewangan Barat yang menindas.
“Kita masih berkiblat dengan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa ‘bapa riba dunia’ yang paling besar dalam dunia. Kita tak bergantung dengan hasil negara kita sendiri. Seluruh negara umat Islam sendiri, padahal kita ada negara sahabat.
“Negara yang dekat, negara Islam yang kaya dengan hasil-hasil bumi. Kalau ada kerjasama, antara kita boleh selesaikan semua masalah ini. Negara Eropah yang tak ada hasil boleh menjana ekonomi dia memanfaatkan hasil-hasil kita,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Presiden PAS itu berkata, sudah tiba masanya Malaysia memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara Islam serta negara jiran serantau yang memiliki sumber alam melimpah dan potensi perdagangan luas.
Menurutnya, negara-negara berkenaan bukan sahaja lebih dekat secara geografi, malah mempunyai kepentingan bersama dalam membangunkan ekonomi berasaskan prinsip keadilan dan kesejahteraan bersama.
“Mengapa kita lebih memilih untuk bekerjasama dengan negara Barat yang jauh, sedangkan negara ASEAN, China, Rusia dan Jepun lebih dekat dan mempunyai potensi kerjasama besar. Ni terjah beri kepada mereka yang jauh sangat kerana menarik dengan budaya dia,” katanya.
Mengulas lanjut, Tuan Guru berkata, sistem ekonomi berasaskan riba hanya akan terus membebankan negara dengan hutang yang tidak berkesudahan dan menghalang pertumbuhan ekonomi sebenar.
“Islam menegaskan bahawa riba tidak akan pernah mampu menyelesaikan masalah ekonomi. Sampai bila-bila, hatta hingga kiamat, ia tidak akan selesai.
“Riba hanya membebankan dengan hutang yang lebih banyak. Sebab itulah Allah SWT menyatakan, jika kamu terus mengamalkan riba, maka kamu seolah-olah mengizinkan Allah memerangi ekonomi kamu sendiri. Ia tidak akan diberkati sampai bila-bila,” ujarnya.
Beliau turut mengulas mengenai jumlah perbelanjaan besar kerajaan yang mencecah RM420 bilion, selain tambahan RM50 bilion daripada anak syarikat kerajaan, menjadikan keseluruhan kira-kira RM470 bilion.
Beliau berkata, angka besar itu tidak sepatutnya dilihat dari sudut jumlah semata-mata, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan bagaimana sumber kewangan diperoleh dan dibelanjakan. – HARAKAHDAILY 15/10/2025



















