Lif rosak, tiada tindakan segera kerajaan negeri

Walaupun aduan telah dibuat

- Advertisement -

KLANG: Penduduk Pangsapuri Seri Perantau Blok C, Pelabuhan Klang berdepan tekanan rutin hidup seharian apabila lif lapan tingkat di blok berkenaan rosak sepenuhnya dan tidak boleh digunakan.

Masalah didakwa disebabkan litar pintas itu turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang dipercayai berpunca daripada kegagalan penyelenggaraan berkala oleh pihak bertanggungjawab.

- Advertisement -

Lebih menyulitkan, apabila keadaan tersebut memberi kesan langsung kepada warga emas, pesakit kronik dan individu berkeperluan khas yang sememangnya memerlukan kemudahan tersebut.

Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali bersama pimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor susulan aduan dilakukan penghuni telah melawat beberapa kediaman di Blok C di sini bagi meninjau keadaan sebenar.

Dalam lawatan tersebut, beberapa penduduk uzur dan memerlukan rawatan berterusan telah ditemui, antaranya termasuk pesakit dialisis, pengguna tong oksigen serta warga emas tidak mampu turun tangga.

Dr Halimah memaklumkan surat berstatus ‘penting dan segera’ telah dihantar kepada Menteri Besar Selangor bertujuan menyegerakan tindakan terhadap isu lif dan keselamatan penduduk.

“Namun sehingga kini masih belum ada maklum balas rasmi kerana dimaklumkan kakitangan berkaitan sedang bercuti,” katanya dalam lawatan itu awal minggu ini.

Dr Halimah menegaskan isu tersebut wajar ditangani sebagai kecemasan kebajikan, bukan urusan pentadbiran biasa di mana pendekatan pengurusan bencana perlu digunakan.

“Dalam kes banjir, bantuan disalurkan dalam tempoh 24 jam, maka pendekatan sama wajar dilaksanakan di sini,” ujarnya memberitahu kerja pembaikan oleh pihak berkenaan hanya dimulakan selepas tekanan awam dibuat.

Tekanan tersebut telah digerakkan bersama oleh Pemuda PAS Selangor yang diketuai Mohamed Sukri Omar, dengan turut disokong oleh Pemuda PAS Kawasan Klang.

Dr Halimah turut memaklumkan satu salinan surat telah diserahkan kepada Exco Perumahan Negeri Selangor dan menggesa Dato’ Seri Amirudin Shari agar tidak melengah-lengahkan penyelesaian.

Menurutnya, penduduk berharap masalah tersebut dapat diselesaikan segera sebelum tahun baharu atau selewat-lewatnya sebelum Ramadan. – HARAKAHDAILY 2/1/2026

- Advertisement -